SHAH ALAM -"Kami baru sahaja menunaikan tanggungjawab keagamaan dalam suasana selamat dan aman hasil pengorbanan mereka, namun tidak sangka itulah malam terakhir mereka semua.”
Demikian luahan pilu seorang penganut Hindu, Lishalinee susulan tragedi nahas membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan yang mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan itu.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Lishalinee turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat selain turut menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu peristiwa sejarah hitam buat rakyat Perak.
"Terima kasih kepada pegawai yang mengawal selia perayaan penganut Hindu dengan begitu ketat. Kami terhutang budi kepada semua.
"Salam takziah kepada semua yang kehilangan suami, abang, adik dan ayah. Semoga semuanya kuat menghadapi ujian ini,” katanya.
Sinar Harian melaporkan sebuah kenderaan FRU telah bertembung dengan lori muatan pasir hingga menyebabkan sembilan anggotanya meninggal dunia dalam insiden yang berlaku pada jam 8.30 pagi.
Sementara sembilan lagi anggota mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
Tambah Lishalinee, dia juga tidak dapat membayangkan kesedihan yang ditanggung keluarga mangsa apatah lagi mereka baru sahaja menamatkan operasi kawalan keselamatan sempena Ops Chariot di Teluk Intan.
"Saya sebagai seorang penganut Hindu doakan roh semua anggota yang terkorban dicucuri rahmat. Ini bukan soal bangsa atau agama, ini soal kemanusiaan dan pengorbanan,” katanya lagi.