SHAH ALAM - Infrastruktur laluan selamat lintasan habitat liar akan dimasukkan dalam reka bentuk dan pembinaan jalan raya serta lebuh raya baharu pada masa akan datang.
Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, ia sejajar bagi melestarikan laluan khusus terowong bawah lebuh raya untuk membolehkan habitat hidupan liar bergerak dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain melintasi lebuh raya dengan selamat.
"Culvert Animal Crosding ini dibina di jajaran Taiping Selatan - Bruas setelah mendapat khidmat nasihat dan persetujuan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, seekor anak gajah mati dilanggar sebuah lori dalam kejadian menyayat hati di Kilometer 80, Lebuhraya Timur–Barat (JRTB) Gerik–Jeli, awal pagi Ahad, apabila haiwan itu keluar secara tiba-tiba dari kawasan hutan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat berhenti dan melanggar anak gajah tersebut yang mati di tempat kejadian.
Menurut KKR, kerjasama erat dengan Perhilitan akan diteruskan bagi memastikan pemeliharaan hidupan liar sentiasa dipertingkatkan.
"KKR melalui agensinya seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan pastikan elemen ini dimasukkan dalam reka bentuk dan pembinaan jalan raya serta lebuh raya baharu.
"Besarlah harapan kami agar pemandu kenderaan memperlahankan kelajuan dan berhati-hati ketika melalui lokasi lintasan hidupan liar yang telah dikenal pasti melalui papan tanda serta lampu jalan.
"Terima kasih atas cakna dan keperihatinan anda semua dalam memelihara hidupan liar Malaysia," katanya.