Jumlah salah guna dadah menurun 10 peratus kesan penutupan lorong tikus - Menteri

Iklan
Antara lorong tikus yang ditutup di Kelantan. Gambar kecil: Saifuddin

PUTRAJAYA - Jumlah penyalahgunaan dadah di dalam negara pada suku pertama merekodkan penurunan hingga 10.5 peratus iaitu sebanyak 108,409 kes berbanding 121,170 kes pada tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia susulan pelaksanaan kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand membabitkan 130 kilometer dari Rantau Panjang hingga ke Jeli, Kelantan.

Iklan
Iklan

"Penurunan ini sangat ketara dan antara faktor utamanya ialah kejayaan kita menutup pangkalan haram serta laluan tikus di Kelantan yang secara secara langsung menyekat kemasukan dadah dari sempadan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Selasa.

Selain itu beliau berkata, program kesedaran awam yang diperhebat oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menyumbang kepada penurunan peratusan tersebut.

Iklan

"Kita tidak hanya bergantung kepada tindakan keras, tetapi juga mendidik masyarakat mengenai bahaya dadah melalui pelbagai platform dan kerjasama dengan agensi berkaitan,” ujarnya.

Jelasnya, Kelantan dikenal pasti sebagai salah satu negeri penyumbang utama kepada angka kes sebelum ini namun tindakan tegas di sempadan memberi kesan penurunan peratusan kes.

Iklan

"Statistik mengikut negeri berdasarkan kadar penyalahgunaan dan penagih dadah bagi setiap 100,000 penduduk pula menyaksikan Kelantan mencatatkan nilai paling tinggi iaitu sebanyak 1,130 orang diikuti Terengganu (974 orang), Perlis (965) manakala Kedah 898 orang," kata Saifuddin.

Bagi statistik daerah pula beliau berkata Pendang di Kedah mencatatkan kes paling tinggi iaitu seramai 1,798 orang diikuti Kuala Krai (1,442) dan Bachok (1,315) yang mana kedua-duanya terletak di Kelantan.