PERKEMBANGAN terkini hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menunjukkan sinar harapan bagi pemulihan ekonomi global yang terjejas akibat perang dagangan yang berlarutan.
Kedua-dua negara itu pada Isnin bersetuju mengurangkan tarif secara signifikan selama 90 hari serta membentuk mekanisme perbincangan baharu mengenai hal ehwal ekonomi dan perdagangan.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha konkrit untuk meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan pasaran global.
Sebelum ini Presiden AS, Donald Trump telah mengenakan tarif sebanyak 145 peratus ke atas barangan import dari China dan dibalas dengan 125 peratus ke atas barangan AS.
Namun dalam rundingan di Geneva, kedua-dua pihak bersetuju menurunkan tarif kepada 30 peratus bagi AS dan 10 peratus untuk China selama tempoh 90 hari.
Trump menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai 'total reset' dalam hubungan AS-China, menandakan permulaan baharu yang lebih konstruktif.
Beliau juga menegaskan, jika tiada perjanjian dicapai selepas tempoh 90 hari, tarif mungkin akan dinaikkan semula namun tidak akan kembali ke paras asal 145 peratus.
China melalui Naib Perdana Menteri, He Lifeng, menyambut baik perjanjian itu dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah penyelesaian jangka panjang yang saling menguntungkan.
Kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan mekanisme perbincangan baharu yang bertujuan menangani isu-isu ekonomi dan perdagangan secara berterusan.
Langkah ini telah memberi kesan positif kepada pasaran global dengan indeks saham utama menunjukkan pemulihan dan nilai dolar AS mengukuh.
Pemerhati ekonomi pula melihat perjanjian itu sebagai peluang untuk memulihkan keyakinan pelabur dan merangsang semula pertumbuhan ekonomi global yang terjejas akibat ketegangan perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia.
Secara tidak langsung, perkembangan terbaharu ini sebagai titik tolak penting dalam usaha menstabilkan ekonomi global.
Walau bagaimanapun, kejayaan jangka panjang bergantung kepada komitmen kedua-dua negara untuk terus berdialog dan menyelesaikan isu-isu yang lebih kompleks seperti hak harta intelek dan ketidakseimbangan perdagangan.