ACO perkasa jaringan koperasi ASEAN, sasar jadi enjin ketiga ekonomi serantau

Iklan
Abdul Fattah (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara KKAIMB dan DEKOPIN sempena Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Sektorial ACO di sebuah hotel di Subang Jaya pada Isnin.

SUBANG JAYA - Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) akan memperkasa jaringan perniagaan koperasi dalam kalangan negara ASEAN bagi meletakkan entiti itu sebagai sektor ketiga pertumbuhan ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, ketika ini pertubuhan yang mempunyai 65.7 juta ahli menerusi 300,000 koperasi menyumbang kira-kira 10 peratus atau AS$300 bilion (RM1.29 trilion) bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ASEAN.

Iklan
Iklan

"Jadi kita mahu angkat supaya peranan koperasi di ASEAN sebagai enjin ketiga pembangunan sosial dan ekonomi sesuatu negara.

"Dalam konteks ini, ACO mempunyai keyakinan penuh kepada kerajaan Malaysia yang ketika ini menjadi Pengerusi ASEAN untuk bawa isu tersebut dan seterusnya diperkasakan lebih kukuh lagi," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Sektorial ACO, di sini pada Isnin.

Iklan

Mesyuarat tersebut diadakan sempena ASEAN Cooperative Dialogue (ACD 2025) yang bakal berlangsung bermula Selasa, dihadiri 10 pemimpin perwakilan koperasi dari negara anggota ASEAN antaranya Brunei, Filipina, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Sementara itu beliau memaklumkan, Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB) turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN) pada mesyuarat itu bertujuan memberi fokus terhadap kerjasama pengembangan perniagaan koperasi khususnya dalam sektor pelancongan.

Iklan

Abdul Fattah yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menjelaskan, kerjasama itu membolehkan KKAIMB memanfaatkan jaringan dan rangkaian DEKOPIN bagi meneroka peluang pelaburan serta pasaran pelancongan koperasi di Indonesia.

"Kerjasama ini juga menjadi bukti bahawa hubungan erat antara koperasi Malaysia dan Indonesia mampu membawa manfaat serta impak ekonomi lebih luas kepada komuniti koperasi kedua-dua negara.

"Komitmen koperasi ASEAN dalam mesyuarat kali ini menunjukkan keazaman bersama bagi memastikan entiti ini terus kekal relevan serta menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi utama ASEAN.

"Kita mahu koperasi bukan sekadar pelengkap kepada pembangunan ekonomi tetapi menjadi penyumbang aktif kepada kestabilan, kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi serantau,” ujarnya.

Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Sektoral ACO 2025 diadakan bersekali penganjuran ACD2025 yang akan berlangsung pada 13 hingga 14 Mei sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa dan Kepengerusian ASEAN 2025.