MUSIM mencandat sotong yang bermula sekitar April hingga Ogos setiap tahun menjadi antara detik yang paling dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh penduduk tempatan malah pelancong dari seluruh negara.
Fenomena ini menjadikan beberapa lokasi di Terengganu seperti perairan Pulau Kapas, Pulau Perhentian, Marang dan Dungun sebagai tumpuan wajib bagi penggemar aktiviti dilaut itu.
Daya tarikan mencandat sotong terletak pada keunikan aktiviti ini yang dilakukan pada waktu malam, menggunakan cahaya lampu bagi menarik sotong ke permukaan laut sekali gus mencipta pengalaman luar biasa buat pemancing.
Bagi pengusaha bot tempatan, musim ini ibarat musim menuai apabila permintaan terhadap sewaan bot meningkat mendadak sehingga ada yang perlu ditempah sebulan lebih awal. Harga sewaan bot juga tidak murah di mana boleh mencecah RM600 hingga RM1,200 semalam, bergantung kepada saiz, lokasi dan kelengkapan bot yang ditawarkan.
Namun, di sebalik keghairahan ini, terdapat risiko yang tidak boleh dipandang enteng iaitu soal keselamatan di laut, terutama melibatkan bot yang beroperasi tanpa pemantauan ketat.
Beberapa kes sebelum ini menunjukkan bagaimana aktiviti mencandat sotong boleh bertukar menjadi mimpi ngeri sekiranya faktor keselamatan diabaikan.
Awal tahun ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Terengganu menahan sebuah bot yang membawa muatan berlebihan seramai 20 penumpang dan mengabaikan aspek keselamatan apabila kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan.
Bot berkenaan ditahan kira-kira jam 11 pagi pada kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Besut, ketika dalam perjalanan dari Kuala Besut ke Pulau Perhentian.
Operasi menerusi Op IMAN itu turut mendapati bot yang dinaiki penumpang termasuk nakhoda, pembantu nakhoda serta tujuh kanak-kanak beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut Malaysia.
Kita percaya kesalahan ini berlaku kerana pengusaha bot lebih mementingkan keuntungan berbanding aspek keselamatan penumpang. Tindakan segelintir pengusaha yang mengabaikan prosedur keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan dan penyelenggaraan peralatan kecemasan termasuk alat pemadam api yang tamat tempoh boleh mengundang risiko kehilangan nyawa pada bila-bila masa.
Pada tahun lalu pula, sebuah bot yang membawa tujuh pemancing dilaporkan hanyut lebih lima jam di perairan Kuala Abang selepas mengalami kerosakan enjin.
Walaupun semua mangsa selamat, insiden itu jelas menunjukkan wujud kelemahan dari aspek persiapan dan pemantauan.Menurut Maritim Malaysia, kebanyakan bot yang terlibat dalam insiden hanyut atau hilang tidak memaklumkan pergerakan mereka secara rasmi, selain tidak dilengkapi alat komunikasi yang sepatutnya.
Pelancong yang pertama kali mencuba aktiviti mencandat pula kebanyakannya tidak menyedari risiko sebenar di laut, apatah lagi pada waktu malam.
Bagi aktiviti berisiko seperti ini, pemantauan secara berkala oleh pihak berkuasa amat penting bagi memastikan setiap bot mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Menurut pemerhatian penulis, masih wujud pengusaha bot tidak berlesen yang mengambil kesempatan ketika musim candat untuk menawarkan perkhidmatan tanpa jaminan keselamatan.
Keadaan ini bukan sahaja mengancam nyawa pelancong, malah mencemarkan imej industri pelancongan Terengganu yang antaranya mengetengahkan aktiviti mencandat sotong.
Justeru, pihak berkuasa disarankan untuk mempertingkat operasi pemantauan termasuk pemeriksaan berkala terhadap bot candat yang beroperasi pada waktu malam.
Pemakaian jaket keselamatan, membawa alat komunikasi peribadi seperti telefon pintar yang kalis air, dan memaklumkan lokasi kepada ahli keluarga adalah langkah asas yang perlu dipraktikkan.
Aktiviti mencandat sotong sememangnya menarik dan mampu menyumbang kepada pelancongan domestik, namun tidak harus dilakukan secara cuai atau semberono.
Pengusaha bot pula perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak mengutamakan keuntungan semata-mata. Sekiranya semua pihak termasuk pengusaha, pelancong dan pihak berkuasa memainkan peranan masing-masing, aktiviti mencandat sotong akan terus kekal menyeronokkan tanpa tragedi.
Bagi penulis, keterujaan mencandat sotong itu tidak salah, tetapi biarlah keseronokan itu tidak berakhir dengan tangisan.
* Norhaspida Yatim ialah Ketua Biro Sinar Harian Terengganu