GEORGE TOWN - Seorang guru lelaki berusia 47 tahun mengalami kerugian sebanyak RM511,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian menerusi sebuah kumpulan pelaburan di aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada 10 Mei lalu selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Menurutnya, kejadian bermula pada awal Februari lalu apabila mangsa melihat iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham di aplikasi Facebook.
"Mangsa kemudiannya menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan pelaburan.
"Dalam kumpulan itu, suspek telah menerangkan perincian pelaburan yang ditawarkan dan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah Hamzah, tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa diminta memuat turun satu aplikasi sebelum mendaftar sebagai ahli dan memulakan pelaburan.
"Mangsa tertarik kerana pelaburan tersebut menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi daripada wang modal yang dilaburkan dalam masa singkat.
"Mangsa telah melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM511,000,” ujarnya.
Jelas beliau, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan wang modal dan keuntungan melalui pautan yang diberikan.
"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Hamzah turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menyertai sebarang skim pelaburan, terutamanya yang ditawarkan secara dalam talian.
"Penyertaan dalam skim pelaburan tidak sah amat berisiko dan masyarakat telah berkali-kali diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan helah scammer yang berselindung di sebalik platform media sosial.
"Semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan pihak Bank Negara Malaysia (https://www.bnm.gov.my) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (https://www.sc.com.my) bagi memastikan entiti atau individu terbabit diberi kebenaran untuk menawarkan atau menjual produk pelaburan,” ujarnya.
Menurutnya, portal Semak Sebelum Lebur turut disediakan sebagai rujukan kepada pelabur sebelum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan.
"Jenayah penipuan dalam talian boleh menggugat kestabilan ekonomi negara dan hanya dapat dibanteras sekiranya masyarakat memiliki pengetahuan serta sentiasa berwaspada.
"Setiap individu perlu memainkan peranan sebagai penyebar mesej kesedaran jenayah komersial agar kita dapat membentuk sebuah komuniti yang selamat dan bebas daripada menjadi mangsa scammer,” katanya.