Sabah mampu maju jika ada kerjasama erat Persekutuan, negeri bela nasib rakyat - PM

Iklan
Anwar bersalaman dengan orang ramai ketika tiba bagi merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada Ahad. Foto Bernama

TAWAU - Sabah mampu menjadi sebuah negeri yang maju sekiranya terdapat kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam membela nasib rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan untuk berusaha sedaya upaya merealisasikan hasrat tersebut, seterusnya memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat di negeri ini.

Iklan
Iklan

Anwar berkata, menjadi kebiasaan bagi sesebuah negeri untuk memohon peruntukan bagi tujuan pembangunan, dan perkara itu boleh dibincangkan secara harmoni antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Ini adalah perkara biasa, tetapi bukan dengan cara bermusuh atau mencerca. Kita runding dan cari penyelesaian yang baik. Pilih wakil rakyat yang boleh menyuarakan kepentingan kita, bukan yang memecah-belahkan kita.

Iklan

"Ini pesanan saya. Kalau kita cinta negara, cinta negeri, tingkatkan muafakat kita. Kita juga harus bersyukur kepada Allah, kerana kita aman, tidak berperang dan tidak bergaduh kerana politik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Iklan

Anwar turut menegur pemimpin yang pernah memegang jawatan besar, termasuk di Parlimen, namun sering berbicara tentang memajukan Sabah dengan pendekatan bermusuh terhadap Semenanjung atau kerajaan Persekutuan.

"Semenanjung tidak akan maju, Sarawak tidak akan maju, Sabah tidak akan maju kalau kita tidak bersatu dan bermuafakat untuk mengangkat negeri ini bersama-sama. Kita kena faham perkara ini betul-betul.

"Lihat negara-negara lain; hari-hari berlaku perpecahan antara kaum, wilayah dan agama. Kenapa? Kerana ada pemimpin yang kerjanya menghasut. Bila ada kuasa, mereka tidak fikirkan hal rakyat,” katanya.

Menurut Anwar, terdapat pemimpin yang semasa diberi kuasa dan amanah untuk menjaga negara, Parlimen serta kerajaan, gagal melaksanakan tanggungjawab, tetapi apabila hilang kuasa, mereka cuba memecah-belahkan rakyat.

Beliau turut menegaskan agar semua pemimpin yang memegang kuasa ketika ini di peringkat Persekutuan dan negeri melaksanakan tanggungjawab dengan baik demi membela nasib rakyat serta tidak meniru gaya kepimpinan yang hanya tahu mencerca selepas kehilangan kuasa.

"Bila hilang kuasa, baru keluar isu kononnya nak jaga Melayu, Islam terancam, negeri tak dijaga. Dulu kamu ada kuasa, buatlah waktu itu. Saya cabar rakan-rakan yang ada kuasa kini, buatlah yang terbaik untuk rakyat,” tegas beliau.

Anwar berkata, rakyat Sabah amat terkesan dengan pelbagai isu asas seperti bekalan air, elektrik, kesihatan, jalan raya serta kemudahan pendidikan yang penting untuk masa depan generasi muda.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kemudahan seperti sekolah, klinik dan projek penting seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah perlu disiapkan dengan tuntas dan tidak dibiarkan tergendala.

"Dalam Kerajaan Madani, ini yang kita laksanakan. Ada orang kata belum cukup, dan saya setuju memang belum cukup. Kadangkala masalah ini diwarisi sejak sekian lama, jadi tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

"Berapa lama Lebuhraya Pan Borneo Sabah tergendala? Di Sarawak hampir siap, tapi di Sabah tergendala teruk. Nasib baik kita ada Ketua Menteri Hajiji yang kata jalan terus, jangan peduli masalah lain,” ujarnya.

Anwar menegaskan bahawa beliau datang ke Sabah sebagai seorang Perdana Menteri untuk berkhidmat kepada rakyat negeri itu, dan berharap semua pimpinan memahami tanggungjawab masing-masing dalam membela nasib rakyat. – Bernama