TAIPING - Waris kepada pewakaf disaran supaya lebih peka dan tidak mengambil mudah soal tanah wakaf terutama yang membabitkan premis ibadah dan pendidikan Islam.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, terdapat kes waris yang tidak tahu lokasi tanah milik mereka dan selepas pembahagian pusaka barulah disedari tanah tersebut digunakan sebagai tapak masjid, surau dan sekolah agama.
"Jika waris mendapati ada kes-kes sebegini, janganlah cepat-cepat jual, berunding dahulu dengan jabatan agama, kita ada banyak pihak dapat membantu.
"Jangan buat keputusan yang boleh cetus kemarahan orang ramai. Kadang-kadang masyarakat pun tak tahu, jadi bila berlaku, semua keliru dan timbul rasa tak puas hati," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Masjid Kampung Air Kuning di sini pada Ahad.
Beliau menegaskan bahawa secara hukum fiqah, harta yang telah diwakafkan tidak boleh dijual, dihadiahkan mahupun diwariskan kembali.
"Sebab itu kita selalu ingatkan, kalau ada sebarang urusan bab wakaf ini, rujuklah Jabatan Mufti atau Mahkamah Syariah. Kita ada saluran yang betul untuk selesaikan masalah.
"Kita jangan lupa hukum hakam. Bila kita lalai, itulah yang jadi punca masalah,” katanya.
Menurut Zamri, kes tebus tanah wakaf seperti yang berlaku di Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu bukanlah kes terpencil, sebaliknya masalah yang pernah dialami masjid-masjid lama sebelum ini.
Katanya, kebanyakan kes timbul kerana tanah wakaf lama tidak diserahkan secara rasmi kepada Majlis Agama Islam seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.
"Masalah ini banyak berlaku kerana dulu wakaf dibuat secara lisan sahaja, tidak didokumenkan. Bila waris generasi seterusnya ambil alih, mereka tak tahu pun yang tanah itu sudah diwakafkan," katanya.
Zamri turut menyeru umat Islam di Perak supaya menunjukkan teladan yang baik dalam menjaga tanah wakaf dan premis ibadah agar tidak timbul persepsi negatif dalam kalangan masyarakat majmuk.
Katanya, dalam kes begini, semua pihak termasuk ahli jawatankuasa masjid, surau, penulis wakaf serta waris agar menyemak semula status tanah masing-masing.
"Kita kena tunjuk pada orang bukan Islam bahawa masjid dan surau kita bukan dibina atas tanah orang lain. Kita uruskan dengan baik, kita selesaikan sendiri masalah kita ikut undang-undang dan hukum," katanya.
Menurut beliau, Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kini lebih teliti dalam menyemak status tanah bagi projek wakaf yang baharu.
"Kita doakan isu di Alor Pongsu dapat diselesaikan dengan baik, tetapi yang lebih penting, kita ambil pengajaran," katanya.