Dua peserta MTHQK Kedah kongsi rahsia hafaz al-Quran

Iklan
Hasanah 'Ulya diumumkan memenangi Tempat Kedua Hafazan Juzuk 1- 20 dengan markah 92.35 peratus.

DUA peserta perempuan kategori hafazan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) dari Negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman mencuri tumpuan apabila memperdengarkan bacaan suci al-Quran baru-baru ini.

Kelancaran bacaan dan kemerduan suara memperdengarkan kalam ALLAH berjaya menambat hati juri sehingga Hasanah 'Ulya Hasbullah, 20, dari Bandar Baharu diumumkan sebagai pemenang tempat kedua kategori Juzuk 1–20 dengan markah 92.35 peratus, manakala Nurul Husna Abdul Aziz, 24, diumumkan pemenang tempat ketiga kategori Juzuk 1–30 dengan markah 93.2 peratus.

Iklan
Iklan

Kedua-duanya bukanlah asing dalam dunia hafazan malah pernah mengikuti pengajian dari institusi yang sama, iaitu Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, Kulim, Kedah.

Hasanah 'Ulya (depan, tiga dari kiri) dan Nurul Husna (depan, dua dari kanan) sementara Ahmad Sidqie (belakang, kanan) bersama peserta dari Kedah yang menyertai MTHQK tahun ini.

PENYERTAAN kali ketiga Nurul Husna di pentas kebangsaan dan kali kelima berturut-turut ke peringkat negeri berbaloi apabila beliau diumumkan pemenang tempat ketiga MTHQK yang berlangsung di Perlis tahun ini.

Iklan

Menurutnya, kali pertama menyertai acara itu di peringkat negeri ialah pada 2020 hingga 2025 dan layak ke pentas kebangsaan pada 2020 dan 2022, sebelum diumumkan pemenang tempat ketiga MTHQK 2025 kategori Hafazan Juzuk 1–30 berserta tafsir dengan markah 93.2 peratus.

Berkongsi pengalamannya menghafaz, Nurul Husna berkata, pada peringkat permulaan, dia cuba menghafal setengah muka sebanyak tujuh atau lapan kali atau ulang maksimum 40 kali.

Iklan

"Untuk menguatkan lagi daya ingatan, saya amalkan ayat yang dihafal dalam solat fardu dan sunat. Insya-ALLAH, akhirnya ia menjadi dan dipermudahkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, guru akademik yang kini bertugas di Johor itu berkata, niat dan disiplin dalam menghafal al-Quran sangat penting untuk dititikberatkan.

Nurul Husna berkata, pertamanya kena betulkan niat nak hafal al-Quran, bukan atas paksaan mana-mana pihak. Kemudian, cuba buat jadual dan disiplinkan diri. Contohnya, setiap hari nak dapatkan hafazan dua muka surat, jadi apa jua rintangan yang berlaku kena capai sasaran itu.

"Begitu juga murajaah (pengulangan), setiap hari tetapkan untuk ulang satu juzuk. Kena lakukan bersungguh-sungguh,” jelasnya lagi.

Hasanah 'Ulya (dua dari kiri) dan Ahmad Sidqie bersama keluarga yang hadir memberikan sokongan.

Beliau yang berasal dari Jitra menitipkan nasihat agar kekal istiqamah memelihara ayat suci al-Quran dengan sempurna sehingga akhir hayat.

Biarpun sibuk dengan kerjaya duniawi, namun masa untuk al-Quran tetap diperuntukkan, selain merancang untuk menyertai mana-mana pertandingan hafazan agar konsentrasi terhadap pengulangan al-Quran tidak akan pudar selamanya.

Tangguh pengajian demi hafaz al-QuranSementara itu, Hasanah 'Ulya Hasbullah, 20, menjadikan abangnya, Ahmad Syawqi, 24, yang pernah diumumkan Johan Hafazan peringkat kebangsaan sebelum ini sebagai idola.

"Saya selalu terinspirasi dengan abang. Dia buat apa-apa pun sambil mengaji; seperti sedang memandu kenderaan pun baca al-Quran secara bersahaja,” jelasnya sambil menceritakan bahawa Ahmad Syawqi kini berada di Mesir bagi menyambung pengajian.

Hasanah 'Ulya, yang diumumkan sebagai pemenang tempat kedua Hafazan Juzuk 1–20 dengan markah 92.35 peratus, menganggap pengorbanan menangguhkan sementara pengajian dalam bidang yang diminati iaitu perakaunan memberi 1,001 hikmah bermakna buat dirinya.

"Kawan-kawan lain ada yang dah masuk universiti, tetapi saya nekad untuk teruskan hafazan dulu. Dah tercapai, selepas ini akan meneruskan dengan permohonan ke institusi pengajian tinggi.

"Saya percaya dengan rezeki ALLH. Bila kita beramal dengan al-Quran, sudah pasti ada jalan kejayaan,” katanya.

Lebih manis, penyertaan MTHQK kali kedua ini turut disertai adik bongsu, Ahmad Sidqie, 17, yang menyertai kategori sama Juzuk 1–20 mewakili peserta lelaki dari Kedah.

Selain kakak sulung, Khairunnisa', 26, yang kini berkhidmat dalam bidang perubatan, kedua ibu bapanya banyak menyokong mereka sekeluarga mendekatkan diri dengan al-Quran sejak kecil.

Kedua-dua peserta ini turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus sehingga mereka berjaya membawa pulang kejayaan buat negeri Kedah.

BIODATA

Nama: Nurul Husna Abdul Aziz

Umur: 24

Asal: Jitra, Kedah

Pendidikan:

- Sekolah Kebangsaan Binjal

- Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, Kulim

- Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman

Pencapaian: Tempat Ketiga Hafazan Juzuk 1-30 al-Quran (perempuan) dengan markah 93.2 peratus

Pekerjaan: Guru Akademik di Johor

------------------------------

Nama: Hasanah 'Ulya Hasbullah

Umur: 20

Asal: Alor Setar, Kedah

Pendidikan:

- Sekolah Rendah Islam Ad-Diniah, Sungai Bakap

- Maahad Tahfiz Sains Darul Aman Kulim

- Madrasah Darul Islah Lil Banat Guar Chempedak

Pencapaian:

Tempat Kedua Hafazan Juzuk 1- 20 Juzuk al-Quran (perempuan) dengan markah 92.35 peratus