PKR Perak bakal miliki wisma sendiri bernilai RM1.5 juta

Iklan
Mohamad Hairul Amir ketika menyampaikan ucapan sempena program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah Anwar di sebuah hotel pada malam Sabtu.

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak bakal memiliki bangunan sendiri bernilai RM1.5 juta yang dijangka menjadi pusat pentadbiran dan latihan rasmi parti itu di negeri ini.

Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, bangunan tiga tingkat yang terletak di Bandar Meru Raya kini dalam proses pembelian dan dijangka dimuktamadkan tahun ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dana bagi pembelian bangunan tersebut diperoleh menerusi program kutipan dana sebelum ini, termasuk majlis makan malam bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya mengumpulkan sebanyak RM2 juta.

"Setakat ini, urusan sedang dijalankan dengan pihak pusat untuk meletakkan bangunan itu atas nama Parti Keadilan Rakyat Malaysia kerana ia tidak boleh diletakkan atas nama individu atau PKR negeri.

Iklan

"Proses ini mengambil sedikit masa, tetapi insya-ALLAH akan selesai tahun ini kerana dana telah mencukupi dan kita sedang dalam proses mendeposit serta menetapkan penama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah Anwar di sebuah hotel di sini malam Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan lokasi di Bandar Meru Raya dibuat kerana kawasan itu strategik dan berdekatan dengan lebuh raya, sekali gus memudahkan urusan semua cabang PKR di seluruh Perak untuk hadir ke ibu pejabat berkenaan.

Iklan

"Tujuan utama pembelian ini adalah untuk memudahkan urusan pentadbiran dan menyediakan pusat latihan yang lebih tersusun kepada jentera parti di negeri ini.

"Sekarang kita masih menyewa di Medan Istana, jadi dengan adanya wisma sendiri, kita dapat mengurangkan kos jangka panjang dan mengukuhkan lagi struktur organisasi di peringkat negeri,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar sumbangan diperoleh daripada pihak korporat luar Perak selain sumbangan individu serta cabang-cabang PKR di negeri ini.

Katanya, setiap cabang menyumbang antara RM10,000 hingga RM20,000, namun majoriti dana adalah daripada syarikat dan individu korporat.

Tambahnya, selepas Pulau Pinang, Perak menjadi negeri kedua yang bakal memiliki bangunan sendiri sebagai ibu pejabat PKR negeri.