Biar rakyat tentukan siapa layak wakili Padang Rengas - Kamil Munim

Iklan
Muhammad Kamil (kanan) menyampaikan bantuan belajar kepada 160 pelajar daripada keluarga B40 di Parlimen Padang Rengas yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT.

PADANG RENGAS - Kerusi Parlimen Padang Rengas terbuka untuk ditandingi mana-mana pihak termasuk bekas penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan hasrat kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang pernah bertanding di kerusi itu pada PRU lalu berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat Mohamed Nazri untuk kembali membuat kemunculan dalam arena politik di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sistem demokrasi negara memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menawarkan diri sebagai calon pilihan raya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Belajar di Pejabat Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas di sini pada Sabtu.

Iklan

Pada PRU15 lalu, calon Perikatan Nasional (PN), Azahari Hasan memenangi kerusi Parlimen Padang Rengas dengan 12,931 undi dan majoriti 3,046 undi.

Muhammad Kamil yang mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 7,062 undi, manakala calon BN, Mohd Arrif Abdul Majid mendapat 9,885 undi.

Iklan

Terdahulu, Mohamed Nazri yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan kerusi Padang Rengas adalah kerusi tradisi BN dan tidak sewajarnya diwakili PN, walaupun gabungan itu kini menjalin kerjasama dalam pilihan raya di beberapa negeri.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata, kenyataan itu memberi gambaran mengenai kemungkinan timbulnya kekusutan antara BN dan PN berhubung pembahagian kerusi menjelang PRU16.

"Itu kita biarkan kepada mereka kerana ia bukan urusan kita.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah terus bekerja, berkhidmat dan berbakti kepada rakyat. Akhirnya rakyat yang akan membuat penilaian, bukan mana-mana sosok atau tokoh politik tertentu," katanya.

Sementara itu, seramai 160 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) menerima bantuan pendidikan.

Daripada jumlah itu, seramai 100 pelajar menerima komputer riba manakala 60 lagi mendapat bantuan wang tunai bagi membantu meringankan perbelanjaan sepanjang pengajian.