KUALA KANGSAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dan berpandangan cadangan itu wajar dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan gabungan berkenaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, cadangan itu wajar diberi perhatian dan diperhalusi, dengan mengambil kira pengalaman menghadapi beberapa pilihan raya sebelum ini serta realiti dan suasana politik semasa.
Beliau berkata, kemenangan dalam pilihan raya bukan hanya bergantung kepada penggunaan logo, sebaliknya turut ditentukan oleh strategi politik, rekod perkhidmatan, pendekatan kepada rakyat dan pemilihan calon.
"Saya tidak nafikan ada kewajaran dan juga pertimbangan yang khusus untuk kita menilai semula strategi dan pendekatan.
"Perkara ini perlu diperhalusi oleh pucuk pimpinan, kerana untuk memenangi pilihan raya bukan hanya sekadar soal logo, tetapi merangkumi keseluruhan aspek termasuk strategi politik, perkhidmatan, pendekatan kita dan soal calon sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Belajar, di Pejabat Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas di sini pada Sabtu.
Muhammad Kamil berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan supaya parti komponen PH, termasuk PKR, DAP dan Amanah, menggunakan logo masing-masing pada PRU akan datang, berbanding satu logo gabungan.
Beliau berkata, PKR mempunyai pengalaman menggunakan logo parti sendiri dalam pilihan raya sebelum ini dan perkara itu tidak pernah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
"Keadilan (parti) sudah hampir 30 tahun di sini dan kita tengok dalam mana-mana pilihan raya pun tidak ada isu, malah sebelum ini pun kita pernah menggunakan logo Keadilan.
"Bahkan logo Keadilan itu pernah melakar sejarah, apabila logo Keadilan itulah telah memenangkan PH pada 2018,” katanya. - Bernama