Kenyataan kontroversi Poay Tiong jadi beban parti kerajaan - Muhammad Kamil

Iklan
Muhammad Kamil

PADANG RENGAS - Kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung arahan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu menjadi beban kepada parti-parti dalam kerajaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pemimpin DAP terbabit sepatutnya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat dan tidak mempolitikkan setiap perkara sehingga menimbulkan polemik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kritikan terhadap sesuatu dasar kerajaan dibenarkan, namun ia perlu mengambil kira latar belakang, keadaan serta sensitiviti masyarakat setempat.

"Masalah sebahagian daripada mereka ialah tidak sensitif dan semua perkara mahu dipolitikkan.

Iklan

"Bukan bermaksud apabila Pas mempunyai mandat di Terengganu, kita tidak boleh mengkritik dasar mereka. Dasar itu boleh dikritik, tetapi kenalah faham latar belakang dan keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Belajar di Pejabat Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas di sini pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, Poay Tiong dikritik hebat selepas mempertikai larangan aktiviti perniagaan atau hiburan pada waktu solat Jumaat yang dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Mengulas lanjut, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata, kenyataan sedemikian akhirnya hanya menyukarkan parti-parti dalam kerajaan dalam membina kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menghargai tindakan Poay Tiong yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan berkenaan.

Katanya, permohonan maaf itu diterima baik, namun kesan kerosakan daripada kenyataan yang menyentuh isu sensitif sudah pun berlaku.

"Kita harap ini jadi satu lagi pengajaran kepada beliau.

"Ini bukan kritikan yang datang daripada orang luar, tetapi daripada parti sendiri, beberapa pemimpin DAP turut menyatakan kekesalan terhadap apa yang berlaku," katanya.