Timbul isu berbangkit jika tak daftar

Iklan
Mohd Izhar Ariff.

PERBUATAN mewakaf harta tanpa dokumentasi atau merujuk pihak berkuasa negeri terlebih dahulu amat tidak wajar dan boleh jatuh hukum makruh sehingga akhirnya mencetuskan perbalahan.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, isu berbangkit di kemudian hari boleh timbul sekiranya pewakaf tidak mendaftar dan merujuk Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) kerana dibimbangi generasi seterusnya menuntut kembali harta dan menginginkan wakaf itu bersifat sementara.

Iklan
Iklan

Justeru, menurut beliau, pewakaf wajib mematuhi garis panduan dan menggunakan saluran yang betul iaitu pihak berkuasa negeri masing-masing bagi mengelakkan kejadian di Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak berulang lagi.

"Saya lihat proses pengauditan dan seliaan ke atas masjid sudah lama dilaksanakan oleh MAIN bagi memeriksa status tanah wakaf. Saya yakin ada beberapa masalah terhadap dokumen wakaf oleh orang lama yang mungkin ketika itu tidak lengkap seperti dokumen hari ini.

Iklan

"Namun apabila dokumen penting tidak ada atau tak berdaftar, ia menyebabkan generasi selepas mereka (pewakaf) keliru dan ingin wakaf itu bersifat sementara.

"Jadi, dokumen perlu diteliti setiap pewakaf, pastikan ia berkekalan sampai bila-bila dan tidak diganggu pewaris atau ahli keluarga selepas meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Sebelum ini pihak berkuasa agama Islam Perak dilapor bakal melaksanakan audit ke atas semua masjid di negeri berkenaan bagi memastikan status pemilikan tanah masing-masing, sekali gus mengelakkan isu penjualan tanah wakaf berulang pada masa akan datang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini memaklumkan, langkah tersebut akan dilaksanakan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) susulan isu yang berlaku melibatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan.

Menurutnya, audit tersebut membabitkan lebih 600 masjid di seluruh Perak dan ia akan diselaraskan dengan data daripada pejabat daerah dan tanah di negeri ini.

Mengulas lanjut, pendakwah tersebut berpandangan, masyarakat perlu diberi penekanan tentang ilmu wakaf dan perundangan serta memahami kemungkinan yang berlaku selepas pewakaf meninggal dunia.

"Perkara ini wajib diketahui dan difahami oleh setiap lapisan masyarakat khususnya yang beragama Islam kerana wakaf ada yang bersifat kekal mahupun sementara. Ia perlu dijelaskan dalam dokumen tersebut.

"Pandangan saya untuk kes Masjid Jamek Ar-Ridzuan, pewakaf perlu bertemu pihak berkuasa negeri dan melengkapkan proses dokumentasi selamat buat kedua-dua belah pihak sama ada ia untuk hari ini atau selepas pewakaf meninggal dunia nanti.

"MAIN akan buat sepertimana diamanahkan mengenai tanah atau harta pewakaf tinggalkan.

"Jadi, kita galak wakaf yang hendak dilakukan selepas ini lebih bersifat mutlak kepada MAIN supaya mudah dilaksanakan ke arah kebaikan. Semoga isu tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan itu menjadi iktibar,” ujarnya.