SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang termasuk menyaman platform media sosial X susulan kegagalan memastikan aspek keselamatan pengguna khususnya melibatkan kandungan berbahaya dan pendedahan kepada kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sedang dibincangkan secara serius berikutan kebimbangan terhadap kandungan di platform itu yang didakwa tidak selari dengan keperluan keselamatan dan undang-undang Malaysia.
"Jika platform media sosial gagal mematuhi keperluan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia termasuk aspek keselamatan pengguna, tindakan undang-undang boleh diambil.
"MCMC kini sedang mempertimbangkan untuk menyaman X kerana kegagalan memastikan keselamatan pengguna," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Jubli Perak, SUK Selangor.
Menurut Fahmi, antara isu utama dibangkitkan ialah kandungan yang dijana teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform itu berpotensi mencetuskan perdebatan tidak sihat serta kandungan tidak sesuai khususnya kepada golongan bawah umur.
Beliau berkata, MCMC kini mengadakan perbincangan berterusan dengan semua platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan Dalam Talian dan undang-undang sedia ada.
"Insya-ALLAH menjelang pertengahan tahun ini, kita menyasarkan kerjasama penuh semua platform media sosial untuk menghadkan akses dan penyebaran kandungan media sosial tertentu khususnya kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas sahaja," jelas beliau.
Fahmi turut menegaskan kerajaan sudah menyelesaikan isu infrastruktur komunikasi dan kini memberi tumpuan kepada usaha menjadikan internet lebih selamat untuk rakyat terutama kanak-kanak dan remaja.
"Anak-anak kita bermain media sosial setiap hari. Jadi tanggungjawab kerajaan adalah memastikan ruang digital ini selamat dan tidak memudaratkan.
"Kenyataan lanjut serta perincian tindakan yang bakal diambil akan dimaklumkan oleh MCMC dalam masa terdekat," tambah beliau.
Terdahulu pada 3 Januari lalu media melaporkan, MCMC sedang menjalankan siasatan terhadap kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform X dan akan memanggil wakil platform itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung penyalahgunaan AI untuk menghasilkan kandungan memudaratkan.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius aduan orang awam mengenai penyalahgunaan Al di platform X khususnya melibatkan manipulasi imej wanita dan kanak-kanak sehingga menghasilkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan.