[VIDEO] Tablet bantu pasukan kesihatan TH akses maklumat kesihatan jemaah haji

Iklan

MAKKAH – Unit Kesihatan Awam Tabung Haji (TH) kini beroperasi lebih efisien dengan penggunaan tablet yang membolehkan pasukan itu mengakses terus maklumat kesihatan jemaah secara dalam talian.

Kemudahan itu membolehkan petugas melihat rekod saringan kesihatan, senarai ubat yang diambil dan status kesihatan jemaah haji sama ada kategori hijau, kuning atau merah sekali gus memudahkan pemantauan serta rawatan awal dilakukan.

Iklan
Iklan

Penyelaras Operasi Unit Kesihatan Awam TH, Dr Abdullah Husam A Shukor berkata, penggunaan tablet itu membolehkan mereka mengakses sistem i-Sihat dan MyVAS yang membolehkan pasukan mendapatkan data lengkap kesihatan jemaah ketika mengadakan lawatan dari bilik ke bilik di bangunan penginapan.

Dr Abdullah Husam (dua dari kanan) ketika melaukan Ziarah Rahmah jemaah haji dari bilik ke bilik di Abraj Al Janadriyah, di sini.

"Dulu kami guna buku, sekarang semua maklumat boleh diakses terus dalam tablet.

Iklan

"Kita ada maklumat semua saringan kesihatan jemaah haji. Jadi kita tahu kategori mereka sama hijau (tiada penyakit), kuning (ada penyakit) atau merah (hidap penyakit kronik),” katanya selepas program Ziarah Rahmah di Abraj Al Janadriyah, di sini.

Beliau menjelaskan, ziarah dari bilik ke bilik jemaah haji itu dilakukan menerusi tiga fasa utama.

Iklan

Pihaknya menyasarkan untuk mencapai 100 peratus lawatan bilik ke bilik semua jemaah haji seminggu sebelum wukuf.

Beliau berkata, dalam lawatan itu, pasukan perubatan turut memberi pendidikan kesihatan terutamanya berkaitan strok haba berikutan cuaca panas di Tanah Suci boleh memberi kesan kepada kesihatan jemaah.

"Ramai jemaah masuk hospital sebab kurang minum air. Kami selalu pesan, minum lebih banyak air berbanding di Malaysia dan elak keluar tengah panas, terutamanya dari tengah hari hingga Asar.

"Kalau kena keluar juga, kami galakkan bawa air, pakai pelindung matahari, payung dan pelitup muka terutama di kawasan sesak macam Masjidil Haram,” katanya.

Unit Kesihatan Awam Tabung Haji (TH) kini beroperasi lebih efisien dengan penggunaan tablet yang membolehkan pasukan itu mengakses terus maklumat kesihatan jemaah secara dalam talian.

Ujarnya, selain strok haba, pasukan perubatan turut mengingatkan jemaah supaya hati-hati bagi mengelakkan risiko terjatuh, sama ada dalam bilik hotel atau masjid.

"Baru-baru ni ada kes jatuh dalam bilik air hotel. Mungkin di rumah lantai kayu, di sini pula lantai jubin dan licin bila basah. Jika terjatuh warga emas berisiko tinggi alami patah tulang sebab rapuh,” katanya.

Tambah beliau, sambutan jemaah terhadap program berkenaan sangat baik kerana ada antara mereka lebih selesa bertanya masalah kesihatan dalam suasana santai.

"Ramai juga tanya kalau ubat tertinggal atau tak cukup, apa nak buat. Biasanya kami pesan bawa bekalan dua bulan, tapi kalau kurang, kami bantu dapatkan ubat di klinik atau hospital,” jelasnya.

Tambah Dr Abdullah, pasukannya di Makkah terdiri daripada enam petugas, manakala di Madinah terdapat dua petugas yang membantu jemaah haji dari segi perubatan.