Pertempuran belum tamat, India umum pembikinan filem Operasi Sindoor

Iklan
Filem Operasi Sindoor diinspirasikan daripada operasi ketenteraan sebenar oleh Angkatan Tentera India. Foto Agensi

NEW DELHI – Syarikat produksi Nicky Vicky Bhagnani Films bersama The Content Engineer secara rasmi mengumumkan pembikinan filem baharu bertajuk Operasi Sindoor yang diinspirasikan daripada operasi ketenteraan sebenar oleh Angkatan Tentera India.

Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan antara India dan Pakistan semakin memuncak berikutan insiden serangan balas rentas sempadan pada minggu ini.

Iklan
Iklan

Poster pertama filem itu memaparkan imej mengagumkan seorang anggota tentera wanita, dilihat dari belakang, lengkap beruniform dan memegang senapang sambil menyapu sindoor, serbuk merah yang disapu oleh wanita ke rambutnya – simbol keazaman dan semangat perjuangan.

Latar belakang poster dihiasi dengan elemen visual seperti kereta kebal, kawat duri dan pesawat pejuang yang memperkukuh tema keberanian, pengorbanan dan patriotisme. Tulisan Operasi Sindoor ditonjolkan dengan huruf 'O' terakhir digantikan dengan calitan sindoor merah, manakala frasa 'Bharat Mata Ki Jai' dalam warna Jalur Tiga menambahkan semangat kebangsaan.

Iklan

Filem ini berlatarkan operasi sebenar oleh tentera India yang berlaku pada malam 6 hingga 7 Mei lalu, sebagai tindak balas terhadap serangan pengganas di Pahalgam. Misi tersebut menyasarkan sembilan pangkalan militan di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan (PoK) dan dipercayai berjaya menumpaskan beberapa militan.

Judul Sindoor dipilih kerana simboliknya yang mendalam – dalam tradisi Hindu, sindoor adalah lambang ikatan perkahwinan dan juga simbol yang sering dipakai oleh pejuang sebelum berangkat ke medan perang. Pemilihan nama ini juga mengimbau insiden kejam dalam serangan di Pahalgam pada 22 April lalu.

Iklan

Setakat ini, barisan pelakon filem berkenaan belum diumumkan. Filem tersebut bakal diarahkan oleh Uttam Maheshwari dan dijangka membawakan naratif yang penuh emosi dan ketegangan. - Agensi