SPRM syor perkukuh tatakelola syarikat Air Kelantan

Iklan
SPRM syor perkukuh tatakelola berhubung pelantikan ahli lembaga pengarah dan perunding di syarikat AKSB.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) syor perkukuh tatakelola berhubung pelantikan ahli lembaga pengarah dan perunding di syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Timbalan Pengarah II Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib berkata, pembentangan penyiasatan tatakelola ini merupakan cadangan penambahbaikan dalam amalan, sistem dan tatacara bagi menutup ruang dan peluang berlakunya risiko serta jenayah rasuah selaras dengan Seksyen 7(c), (d) dan (e), Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Iklan
Iklan

"Objektif penyiasatan tatakelola ini bukan sahaja mencadangkan penambahbaikan yang sewajarnya malah ia bertujuan membantu badan awam atau swasta mengenal pasti kelemahan yang ada dari sudut tatakelola.

"Antara pengesyoran yang dikemukakan ialah mewujudkan garis panduan dan tatacara pelantikan Ahli Lembaga Pengarah di AKSB dengan menempatkan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan untuk menjaga kepentingan dana awam serta melantik pihak luar yang berpengalaman dan berkepakaran," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, syor lain ialah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sebut harga dan tender untuk pelantikan perunding dengan membangunkan terma rujukan yang jelas dan lengkap.

Selain itu katanya, menetapkan kriteria pelantikan Ahli Jawatankuasa Perunding yang jelas, kaedah perolehan secara tender terbuka bagi nilai perolehan melebihi RM500,000, surat pelantikan perunding dan dokumen kontrak hendaklah dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan selepas Surat Setuju Terima (SST).

Iklan

Beliau berkata, strategi perancangan perniagaan tahunan AKSB juga perlu ditetapkan supaya diadakan kerjasama strategik bersama Board of Geologist Malaysia (BoG)/Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM)/Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) atau agensi yang terlibat dalam pembangunan serta pengurusan air negeri.

"Tatacara Pengurusan Kontrak yang khusus juga perlu dibangunkan bagi projek dan kerja pembaikan dan pembangunan industri air selain pembangunan sistem pengurusan fail secara digital yang komprehensif," ujarnya.

Mei tahun lalu, media melaporkan Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berkaitan kes rasuah dan seleweng pembinaan telaga jejari yang tidak berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk.

Untuk rekod, SPRM pernah menahan empat lelaki termasuk dua bekas pegawai kanan syarikat air di Kelantan bagi membantu siasatan berkaitan pembinaan telaga jejari yang gagal berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk.