KAMPAR - Jemaah Masjid Jamek Jeram yang meninggal dunia dalam perjalanan pulang selepas solat Jumaat sempat menyedekahkan pisang hasil tanaman sendiri ke masjid.
Mazlan Ahmad, 68, yang maut di tempat kejadian selepas motosikalnya dirempuh sebuah lori turut dikhabarkan pergi ke masjid setengah jam lebih awal dari rutin kebiasaannya setiap Jumaat.
Menurut anaknya, Rohaiza Mazlan, 33, bapanya keluar rumah jam 12.05 tengah hari dengan membawa pisang berangan hasil pertama dari kebun kecil yang diusahakan di belakang rumah.
"Ayah biasanya gerak ke masjid sekitar 12.30 tengah hari, tetapi semalam (Jumaat) dia keluar awal. Katanya nak sampai awal ke masjid.
"Dia bawa sekali buah pisang berangan yang ditanam sendiri. Memang ayah dah niat lama nak sedekah ke masjid bila pisang itu masak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gua Sanding, Jeram di sini pada Sabtu.
Rohaiza berkata, jemaah masjid memaklumkan bahawa bapanya kelihatan sangat ceria dan dengan ramah menyapa semua rakan-rakan yang tiba di masjid.
Bagaimanapun katanya, usai solat Jumaat, Allahyarham yang kebiasaannya antara jemaah terakhir meninggalkan masjid dilihat tergesa-gesa ingin pulang.
"Ada jemaah tegur ayah, tanya nak ke mana sebab biasanya dia akan bantu mengemas sejadah masjid. Dia cuma jawab nak balik cepat," katanya.
Mazlan yang merupakan anak sulung daripada 14 beradik dikenali sebagai seorang yang disenangi masyarakat, aktif berkebun dan turut menjadi sukarelawan menguruskan jenazah di kampung serta hospital sejak lebih 15 tahun lalu.
Rohaiza berkata, sehari sebelum kejadian, ayahnya ada meminta ibunya, Rokiah Taharin, 73, memasak laksa, walaupun tidak menggemari makanan itu.
"Rupanya laksa itu seperti satu petanda. Adik-beradik ayah semua memang suka makan laksa. Macam ayah sediakan awal-awal sebab tahu semua akan berkumpul untuk urus pengebumiannya," katanya.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram sekitar jam 10 malam pada Jumaat.
Rohaiza yang merupakan anak tunggal tidak dapat menyembunyikan rasa rindu terhadap telatah arwah ayahnya yang begitu mengambil berat tentang dirinya walaupun mereka tinggal serumah.
"Ayah akan telefon saya setiap hari walaupun kami duduk rumah yang sama. Dia nak tahu saya di mana, jam berapa balik. Sejak saya bujang sampai dah berkahwin, ada dua anak pun ayah tetap macam tu.
"Semalam dan hari-hari selepas ini, saya dah takkan terima panggilan ayah lagi," katanya dalam nada pilu.
Nahas jam 1.58 petang di Kilometer 26.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 melintas jalan dari arah Masjid Jamek Jeram.
Dalam masa sama, sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah Simpang Pulai tidak sempat mengelak mengakibatkan pelanggaran berlaku.