Meninggal dunia selepas dua minggu bertarung nyawa akibat kemalangan

Iklan
Mangsa meninggal dunia selepas lebih dua minggu menerima rawatan akibat kecederaan parah akibat kemalangan. Gambar kecil: Balveer Singh

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 36 tahun meninggal dunia selepas lebih dua minggu menerima rawatan akibat kecederaan parah dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di persimpangan Jalan Bukit Impian/Jalan Persiaran Impian Emas di sini pada 24 April lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R25 dari arah Kempas menghala ke Senai dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat merah.

Iklan
Iklan

"Akibat kejadian itu, mangsa melanggar bahagian kiri sebuah kereta Toyota Camry yang sedang membelok ke kanan memasuki simpang Jalan Persiaran Impian Emas.

"Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia pada Jumaat, kira-kira jam 11.10 malam.

Dalam pada itu, Balveer Singh berkata, pemandu Toyota Camry berusia 64 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin di talian 011-35807871 bagi membantu siasatan," ujarnya.