KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah memperkenankan pelantikan semula Azam untuk memegang jawatan tertinggi dalam SPRM.
"Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan Subseksyen 5(1) dan 5(2), Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun, berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
"Pelantikan semula ini adalah berdasarkan pengalaman, komitmen dan pencapaian beliau sepanjang menerajui SPRM,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula untuk jawatan itu masing-masing bagi tempoh setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Beliau pertama kali dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan lebih awal, selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Azam merupakan nama yang tidak asing dalam landskap penguatkuasaan undang-undang dan pembanterasan rasuah negara.
Dilahirkan di Negeri Sembilan pada tahun 1963, beliau berkelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dari Universiti Teknologi Malaysia, Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens dari Universiti Malaya, dan Ijazah Sarjana dari Asia e-University.
Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang penguatkuasaan apabila menyertai agensi antirasuah pada tahun 1984, ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), dan berkhidmat dalam pelbagai peranan termasuk sebagai pegawai penyiasat, pegawai perisikan serta pegawai pendakwa di Kelantan dan Perak, selain terlibat dalam aktiviti pendidikan masyarakat.
Azam juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam SPRM antaranya sebagai Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan, dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).
Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak Mac 2020 dan telah memperkenalkan beberapa pembaharuan utama termasuk pengukuhan institusi serta perundangan berkaitan rasuah.
Antara inisiatif yang diketengahkan di bawah kepimpinannya termasuk transformasi digital SPRM melalui penerapan teknologi kecerdasan buatan dan blok rantai, serta penubuhan Pasukan Taktikal Khas (ACTS) bagi menangani risiko keselamatan pegawai siasatan dan meningkatkan kecekapan operasi.
Beliau turut mengangkat imej SPRM ke peringkat antarabangsa menerusi kerjasama dalam forum seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).
Di bawah kepimpinannya, SPRM telah mengambil tindakan terhadap beberapa kes berprofil tinggi, termasuk siasatan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS), penahanan tokoh politik dalam kes pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa, serta tindakan terhadap anggota penguat kuasa dan kastam yang terlibat dalam rasuah.
Selain aspek penguatkuasaan, Azam turut menekankan pentingnya pendidikan antirasuah di peringkat akar umbi sebagai langkah pencegahan jangka panjang, seiring pendekatan Malaysia MADANI yang menjadikan integriti sebagai nilai teras pentadbiran negara.
Dengan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang penguatkuasaan serta komitmen tinggi terhadap integriti institusi, Tan Sri Azam Baki kekal sebagai tonggak utama dalam menerajui usaha membanteras rasuah secara berkesan dan berterusan. - Bernama