PASARAN buruh Malaysia terus mencatat kemajuan stabil pada suku pertama 2025 dengan petunjuk utama menunjukkan peningkatan bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh, manakala kadar pengangguran menunjukkan penurunan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 17.23 juta orang bagi tempoh Januari hingga Mac, berbanding 17.10 juta orang pada suku keempat 2024.
"Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus kepada 70.7 peratus berbanding 70.6 peratus pada suku sebelumnya,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.
Selaras dengan trend tersebut, bilangan penduduk bekerja bertambah sebanyak 0.9 peratus kepada 16.70 juta orang, manakala bilangan penganggur menurun 2.3 peratus kepada 526,300 orang berbanding 538,700 orang pada suku sebelumnya.
Kadar pengangguran juga menurun kepada 3.1 peratus berbanding 3.2 peratus sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatat pengurangan sebanyak 5.9 peratus kepada 242,700 orang, manakala mereka yang bekerja dalam tempoh sama dan bersedia menerima tambahan jam bekerja turut berkurang sebanyak 3.8 peratus kepada 146,900 orang.
Bagaimanapun, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran – merujuk kepada individu berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah – meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 1.95 juta orang, dengan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sebanyak 35.7 peratus.
Pada peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu 1.8 peratus, diikuti Melaka dan Pahang (masing-masing 1.9 peratus), serta Selangor (2.2 peratus).
Selangor juga mencatatkan KPTB tertinggi pada 77.9 peratus, diikuti Putrajaya (77.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (75.4 peratus).
Menyentuh data bulanan, Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur pada Mac 2025 berkurangan kepada 529,600 orang berbanding 532,800 orang pada Februari, menjadikan kadar pengangguran bulanan sebanyak 3.1 peratus.
"Kedudukan ekonomi yang optimistik pada Mac 2025 membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang secara stabil,” katanya sambil menambah bahawa bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 17.31 juta orang berbanding 17.27 juta orang pada Februari.
Beliau berkata, prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2025 menunjukkan pertumbuhan kukuh yang didorong oleh beberapa faktor utama seperti peningkatan pelaburan, kestabilan pasaran buruh dan pemerkasaan sektor eksport.
Mohd Uzir berkata, perkembangan ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pasaran tenaga buruh, disokong oleh peningkatan kadar bilangan penduduk bekerja dan penyertaan tenaga buruh.
"Pasaran buruh dijangka terus berkembang berikutan permintaan tenaga buruh yang kukuh menjelang bulan-bulan seterusnya, ditambah dengan beberapa langkah strategik bagi memastikan kestabilan pasaran tersebut,” katanya. - Bernama