IPOH - Pengurusan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu mengambil pendekatan berhemah dengan menyerahkan sepenuhnya urusan jual beli tanah wakaf yang sedang diusahakan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Pengerusi masjid, Yusuf Majid berkata, langkah itu bagi memastikan proses penebusan hak milik kepada institusi Islam negeri ini berlangsung dalam suasana aman dan sah.
"Kita akan buat surat rasmi kepada MAIPk dalam masa terdekat bagi memohon supaya mereka mengambil alih sepenuhnya urusan berkaitan termasuk dari segi pembelian dan rundingan guaman," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurut Yusuf, maklumat awal yang diterima hasil perbincangan bersama MAIPk menunjukkan bahawa proses pengambilan tanah itu boleh dilaksanakan dalam kadar segera, bergantung kepada kelancaran urusan teknikal dan perundangan yang perlu dilalui.
Setakat ini, katanya, jumlah kutipan derma untuk tujuan pembelian tanah yang berjaya dikumpulkan melalui akaun rasmi masjid sudah mencecah RM1.9 juta, melebihi harga tawaran asal tanah tersebut iaitu RM1.8 juta.
"Kami juga tidak pernah meletakkan sebarang deposit sebelum ini, hanya bersandarkan kepada janji lisan dengan tuan tanah yang menyatakan persetujuan untuk menjual tanah berkenaan kepada masjid," ujarnya.
Tambah Yusuf, pihaknya sudah memaklumkan hasrat kepada tuan tanah bukan beragama Islam berkenaan yang memiliki tanah bersebelahan masjid dan tanah perkuburan bagi menjayakan proses penebusan hak milik kepada institusi Islam negeri.
"Memang sebelum ini saya sudah berbincang dengan tuan tanah melalui telefon. Dia memang bersetuju dan sekarang sedang menunggu tindakan lanjut daripada pihak masjid. Malah, dia sudah melantik peguam untuk menguruskan hal ini," katanya.
Beliau turut berharap seluruh umat Islam khususnya penduduk Alor Pongsu terus mendoakan agar segala urusan pembelian tanah wakaf itu dipermudahkan ALLAH SWT demi memastikan tanah yang menjadi tempat ibadat umat Islam itu akhirnya kembali ke tangan yang berhak.
"Dalam ke sini, tuan tanah amat faham sensitiviti umat Islam. Ikut perancangan, memang dia mahu melaksanakan projek pembangunan di tanah tersebut, tetapi dia beranggapan kurang sesuai disebabkan bersebelahan kubur," ujarnya.