PASIR MAS - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran selepas menahan enam lelaki warga tempatan yang disyaki berperanan sebagai transporter dan seorang penjaga rumah transit di Kampung Kubang Sepat di sini pada Jumaat.
Operasi jam 5.30 pagi itu juga berjaya menahan 41 warga Myanmar terdiri daripada 18 lelaki dewasa, 10 wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, kesemua mereka berusia antara tiga hingga 53 tahun.
"Tangkapan tersebut dilakukan hasil risikan selama dua minggu.
"Turut dirampas lima buah kenderaan yang digunakan sindiket termasuk sebuah pacuan empat roda, kenderaan utiliti sukan, kenderaan sedan dan dua buah motosikal dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM300,000," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, selain itu wang tunai RM820 dan 10,000 baht turut dirampas.
Ujarnya, semua warga asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, enam warga tempatan yang ditahan disiasat di bawah akta sama kerana disyaki terlibat secara langsung dalam sindiket penyeludupan berkenaan.
"Operasi itu melibatkan kerjasama Unit Risikan Sempadan Imigresen (URSI) bersama Pasukan Taktikal Khas (Pastak), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia Putrajaya.
"Kejayaan ini menunjukkan komitmen berterusan JIM dalam membanteras aktiviti penyeludupan migran bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai PATI atau sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan warga asing kepada pihak berkuasa.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersubahat, melindungi atau memudahcara kemasukan PATI,” katanya.