31 daripada 34 projek sakit PR1MA berjaya disiapkan - Kor Ming

Iklan
Kor Ming (tiga, kanan) melawat sekitar kawasan perumahan PR1MA pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Bandar Ekar Kampung Rantau, pada Jumaat. Foto Bernama

SEREMBAN – Sebanyak 31 daripada 34 projek sakit Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di seluruh negara telah berjaya disiapkan, merangkumi 20,470 unit kediaman setakat April lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, baki tiga lagi projek, iaitu masing-masing dua di Melaka dan satu di Kedah, dijangka siap menjelang akhir tahun ini dengan sokongan penuh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi berkaitan.

Iklan
Iklan

"Projek sakit berkenaan diwarisi daripada kerajaan terdahulu dan pengurusan lama PR1MA. Apabila saya mula diberi amanat dan tanggungjawab, kita dapati selepas semakan, terdapat 34 projek sakit di seluruh negara, dan kita telah menyiapkan 31 daripadanya.

"Di Negeri Sembilan, tiga projek sakit iaitu di Seremban Sentral, Port Dickson dan Rantau, membabitkan 2,929 unit rumah, berjaya kita selamatkan dalam tempoh dua tahun. Terima kasih kepada kontraktor dan pembeli yang sabar,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Residensi Bandar Ekar, Rantau kepada pembeli, pada Jumaat.

Iklan

Kor Ming berkata, mana-mana kontraktor atau syarikat termasuk ahli lembaga pengarah yang menyebabkan projek menjadi sakit tanpa alasan munasabah akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan menyertai sebarang projek di bawah KPKT dan PR1MA.

Beliau berkata, apabila proses tender terbuka atau permintaan untuk cadangan (RFP) dijalankan, pihak yang disenarai hitam akan hilang kelayakan, sekali gus memastikan tiada lagi projek terbengkalai pada masa hadapan.

Iklan

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, projek Residensi Bandar Ekar dengan nilai pembangunan kasar RM172 juta membabitkan 766 unit kediaman jenis teres satu setengah dan dua tingkat yang dimulakan pada 1 Februari 2017 dan dijadual siap pada 31 Mei 2020.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 752 unit telah terjual pada harga seunit yang kompetitif dan mampu milik, bermula RM165,000 hingga RM224,000, serta dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tadika, surau dan taman permainan.

"Disebabkan pelbagai kekangan termasuk Covid-19, bekalan bahan binaan dan tenaga kerja, pembeli tidak dapat menduduki kediaman ini. Akhirnya, selepas lima tahun, projek ini berjaya disiapkan,” katanya sambil menambah bahawa PR1MA kini merancang untuk melancarkan fasa kedua residensi tersebut tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming tidak menafikan terdapat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lalai dalam menguruskan projek MyKiosk dan berharap mereka bertanggungjawab memastikan projek berkenaan diisi dalam tempoh 30 hari dari sekarang.

Mengenai projek pembinaan loji sisa tenaga (WTE) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, Melaka, beliau berkata pihaknya sedang berbincang dengan syarikat konsesi dan akan memulakan kerja pembinaan secepat mungkin selepas persetujuan dicapai.

"Terpulang kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk berbincang dengan syarikat konsesi mengenai jangka masa sebenar. Saya tidak mahu memaksa, kita mahu kaedah sukarela kerana kita mahukan formula menang-menang,” katanya. - Bernama