Ahli perniagaan rugi RM150,000 ditipu pelaburan projek ternakan kambing

Iklan
Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila kerugian RM150,000 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan projek ternakan kambing. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azli)

KUALA TERENGGANU - Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila kerugian RM150,000 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan projek ternakan kambing.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 36 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada Khamis selepas menyedari dirinya ditipu oleh individu yang dikenali melalui rakannya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa mendakwa diperkenalkan kepada suspek pada 12 November tahun lalu yang menawarkan skim pelaburan ternakan kambing dengan pulangan lumayan.

"Tertarik dengan janji pulangan RM6,000 sebulan, mangsa membuat pelaburan awal sebanyak RM30,000 secara tunai sebelum ditawarkan pelaburan tambahan sebanyak RM70,000 dengan dijanjikan keuntungan RM20,000 sebulan dalam tempoh setahun.

Iklan

"Mangsa juga pernah menyerahkan 80 ekor kambing selepas pelaburan ketiga berjumlah RM30,000, namun hanya menerima bayaran untuk bulan pertama sahaja.

"Ketika itu, mangsa menerima 50 peratus keuntungan berjumlah RM3,000, sebelum bayaran seterusnya tidak dibuat,” katanya di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek turut menipu beberapa mangsa lain dengan modus operandi yang sama.

"Siasatan kes ini masih diteruskan dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.