PASIR GUDANG - Kerajaan mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim menghentikan operasi masing-masing berkuat kuasa 24 Julai ini kerana didakwa beroperasi secara haram.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, surat kepada kedua-dua aplikasi berkenaan supaya menghentikan operasi juga telah dihantar oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) baru-baru ini.
"Berkuatkuasa mulai 24 Julai ini, operasi InDrive dan Maxim di negara ini perlu dihentikan.
"Bagaimanapun, kedua-dua syarikat e-hailing berkenaan boleh membuat rayuan dan ia hanya boleh diputuskan oleh saya selaku Menteri Pengangkutan," katanya.
Anthony berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Semula Landasan untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang pada Jumaat.
Tambah Anthony, kerajaan pada Isnin lalu digesa supaya menjalankan penguatkuasaan tegas terhadap dua aplikasi e-hailing, InDrive dan Maxim termasuk menyekat akses kepada kedua-dua platform berkenaan.
Malah katanya, baru-baru ini Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) menerusi kenyataan turut dilaporkan mendakwa, kedua-dua platform e-hailing itu didapati terus menawarkan perkhidmatan mereka tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.
"Menurut APAD, dua syarikat e-hailing berkenaan didapati melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
"Ini termasuk tidak memastikan pemandu-pemandu mereka memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah, seperti yang telah diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.
"Perbuatan ini bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang mempunyai Lesen PSV yang sah, malah turut menjejaskan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka kerana pemandu yang dibenarkan beroperasi tanpa memiliki Lesen PSV yang sah, juga tidak memiliki Insurans E-Hailing selain tidak melakukan pemeriksaan kenderaan seperti terma dan syarat yang telah ditetapkan," katanya.