KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penuntut universiti swasta dari Bangladesh menggesel seorang wanita warga Amerika di Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti mengundang padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
Rahman Md Moshiur, 28, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret S Mageswary.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Rahman didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang ahli patologi wanita berusia 26 tahun, dengan niat mencabul kehormatannya dengan cara menggesel.
Kesalahan itu dilakukan dalam gerabak tren di stesen LRT Universiti menghala ke Bangsar, pada jam 9 pagi, 9 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad mencadangkan agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam.
Bagaimanapun, lelaki bujang yang tidak diwakili peguam itu merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara kerana telah insaf.
"Selepas ini saya akan berhati-hati ketika menaiki LRT dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.