SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyarankan pemain bola kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim supaya memfailkan saman undang-undang terhadap polis atas penyelewengan awam.
Ia susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes simbah asid terhadap Faisal pada tahun lalu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Mohd Zaid berkata, pasukan peguam Faisal sepatutnya perlu mengemukakan cadangan yang kukuh dan berani untuk terus memperjuangkan kes tersebut hingga akhir.
"Ada yang mengatakan polis tidak dapat mencari bukti penjenayah, walaupun dia telah menyimbah asid ke muka Faisal di khalayak ramai.
"Bolehkah Faisal menyaman polis? Tiada undang-undang yang memberikan tanggungjawab menjaga polis kepada mangsa tindakan jenayah, tetapi saman untuk penyelewengan awam patut dicuba.
"Jika Faisal boleh menunjukkan polis tidak melakukan kerja mereka seperti yang sepatutnya, atau sengaja mengelak daripada membuat tangkapan, maka tindakan akan berjaya,” katanya dalam hantaran di X pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa peguam yang mewakili Faisal telah mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kes serangan simbahan asid yang berlaku pada 5 Mei tahun lalu.
Menurut jurucakap Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, Nik Zarith Nik Moustpha dan Mohd Haijan Omar, beberapa langkah proaktif telah diambil sejak siasatan bermula bagi memastikan kes tersebut diberi perhatian sewajarnya.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Khamis dilaporkan berkata, kes serangan asid terhadap Faisal yang diklasifikasikan sebagai NFA masih berada dalam siasatan dan tidak ditutup.
Mohd Shuhaily menjelaskan, klasifikasi NFA adalah prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan jenayah, khususnya apabila tiada bukti kukuh mengaitkan suspek.
"Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu.
"Justeru dalam kes ini, siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan berkenaan akan dirujuk semula sekiranya perlu," kata Mohd Shuhaily.
Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, masyarakat masa kini seolah-olah hidup dalam sistem yang lemah di mana aspek ketelusan dalam setiap prosedur kerajaan itu tidak diamalkan sepenuhnya termasuk melibatkan siasatan polis.
"Kita juga tinggal di negara yang keadilan tidak mudah diperolehi sekiranya pelaku jenayah itu tergolong dalam golongan mafia.
"Jadi susah. Tapi Faisal mesti tabah,” ujarnya.