MAKKAH – Rata-rata jemaah haji Malaysia yang telah tiba di Makkah berpuas hati dengan layanan petugas dan pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pesara, Mohamad Hamzah Che Rus, 60, berkata, perjalanannya menaiki bas bersama jemaah haji Malaysia dari Madinah ke Makkah berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Menurutnya, maklumat yang disampaikan oleh petugas TH juga mudah difahami dan diberikan sebaiknya.
"Perjalanan (naik bas dari Madinah ke Makkah) okey tiada masalah, petugas beri maklumat secukupnya.
"Layanan pengurusan TH juga baik dan bab penginapan pula saya beri taraf lima bintang,” katanya ketika ditemui di Pusat Hentian Rehat dan Rawat As Sahel Wadi Stara di sini.
Pembantu Pengurusan Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Kedah, Siti Norazila Kamarudin, 40, pula berkata, rasa selamat apabila petugas TH sentiasa memantau pergerakan jemaah haji terutama apabila bergerak ke satu-satu lokasi.
"Bila naik bas dan berhenti satu-satu lokasi, mereka (petugas TH) akan kira jumlah jemaah seorang demi seorang jadi saya rasa selamat malah bila ada masalah semua selesai dengan bantuan mereka.
"Alhamdulillah petugas TH juga sangat membantu terutama dalam memberi penerangan maklumat. Jadi jemaah tahu apa perlu dibuat,” katanya.