Tidak wajar gambarkan kuasa pengampunan sebagai ‘mengatasi undang-undang’ – Azalina

Iklan
Azalina

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak wajar menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai tindakan yang mengatasi undang-undang.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kuasa pengampunan bukan berada di luar kerangka undang-undang, sebaliknya diperuntukkan secara jelas menerusi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.

"Berhubung kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan bertarikh 18 September 2026, saya ingin menjelaskan beberapa perkara dari sudut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

"Prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan. Tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atas undang-undang.

"Namun, Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan semua pihak juga tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Majlis Presiden PH menegaskan bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang dan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Presiden PH turut menyatakan pendirian teguh menyokong pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta nasihat Peguam Negara dan Menteri Wilayah kepada Lembaga Pengampunan.

Kenyataan itu dikeluarkan sejurus Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Anwar berakhir selepas lebih sejam berlangsung di Bangunan Perdana Putra di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, keputusan kehakiman dan proses pengampunan merupakan dua perkara berbeza.

Menurutnya, mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dengan menentukan kesalahan serta menjatuhkan hukuman, manakala Perkara 42 menyediakan mekanisme perlembagaan berkaitan pengampunan, penangguhan hukuman atau pengurangan hukuman.

"Kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang," ujarnya.

Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk menghormati keputusan mahkamah, Perlembagaan serta proses yang telah diperuntukkan.

"Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses yang sebenar, bukan sekadar kenyataan politik.

"Tiada siapa mengatasi undang-undang dan tiada siapa mengatasi Perlembagaan," katanya.