SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa supaya segera mengenal pasti penganjur, semua individu, lokasi sebenar pementasan dan kewarganegaraan mereka terlibat dalam pementasan kontroversi yang didakwa mempersendakan Rukun Negara.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, usaha ini penting untuk menentukan tindakan undang-undang yang boleh diambil.
Menurutnya, jika pementasan tersebut dilakukan di luar Malaysia dan melibatkan rakyat negara ini, Peguam Negara perlu menentukan undang undang yang mempunyai bidang kuasa terhadap perbuatan tersebut.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga perlu menyiasat aspek penyebaran kandungan tersebut kepada khalayak Malaysia.
"Seksyen 4 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan mengenai pemakaian wilayah dan luar wilayah Akta tersebut, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh undang undang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung video pementasan yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara serta Rukun Negara itu.
Menurut Aaron, siasatan hendaklah mempertimbangkan semua peruntukan undang-undang yang berkaitan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, sekiranya pementasan tersebut benar berlangsung di London dan membabitkan rakyat Malaysia, Wisma Putra serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK) perlu mendapatkan fakta lengkap berhubung penganjur, individu terlibat dan status kewarganegaraan mereka.
"Kerajaan juga perlu menyiasat sama ada terdapat sebarang geran, pembiayaan atau sokongan daripada mana-mana agensi kerajaan Malaysia terhadap pementasan berkenaan.
"Jika terbukti terdapat warganegara Malaysia yang terlibat, dan mereka memperoleh kewarganegaraan melalui kategori yang tertakluk kepada Perkara 25(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, saya mendesak kerajaan mengambil tindakan pelucutan kewarganegaraan sekiranya perbuatan atau percakapan mereka memenuhi ambang yang ditetapkan oleh Perlembagaan, iaitu telah menunjukkan diri mereka sebagai “disloyal or disaffected towards the Federation”," katanya.
Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya takut untuk menggunakan undang-undang sedia ada sekiranya syarat yang ditetapkan itu dipenuhi.
Ujarnya lagi, Rukun Negara bukanlah bahan persendaan, ianya diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai falsafah kebangsaan untuk membina perpaduan dan kehidupan bernegara.
"Kebebasan berkarya bukan kebebasan daripada undang undang. Jika kerajaan benar benar serius mempertahankan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, tindakan mestilah lebih daripada sekadar kenyataan mengecam," katanya.
Terdahulu, tular rakaman klip pementasan teater yang dimuat naik pengguna Instagram didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, Malaysia serta Rukun Negara.
Dalam rakaman tersebut, beberapa individu yang membawa pelbagai watak menerusi teater bertajuk ‘This is Malaysia’ dilihat mempersendakan situasi di Malaysia setiap kali dialog dilontarkan.