Tak puas hati khemah halang kedai, peniaga mengamuk pecah pintu MPTI

Iklan
Suspek bertindak memecahkan pintu kaca utama bangunan MPTI dengan menggunakan tukul besi. Foto ihsan pembaca

TELUK INTAN - Tidak berpuas hati dengan pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi punca seorang peniaga mengamuk dalam kejadian di bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.15 pagi itu, suspek berusia 63 tahun bertindak agresif dengan memecahkan pintu kaca utama bangunan menggunakan tukul besi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pasukan peronda polis yang tiba di lokasi mendapati suspek telah ditahan oleh kakitangan MPTI dan berlaku pertengkaran mulut.

"Hasil siasatan mendapati suspek yang hadir menaiki motosikal telah memecahkan pintu kaca dan cuba meninggalkan lokasi. Dia bagaimanapun sempat ditahan dan diserahkan kepada pihak polis.

Iklan

"Dalam keterangannya, suspek menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap tindakan MPTI yang memasang khemah di hadapan kedainya sempena perayaan Chitra Pournami yang disambut setiap tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bakri berkata, tindakan memasang khemah itu didakwa telah menghalang pandangan pelanggan terhadap kedai membaiki jam milik suspek.

Iklan

"Suspek mendakwa beberapa aduan telah dibuat kepada MPTI dan laporan polis juga pernah dibuat sebelum ini, namun tiada tindakan diambil menyebabkan dia bertindak sedemikian.

"Suspek telah ditahan dan sebatang tukul besi turut dirampas. Permohonan reman akan dibuat pada Jumaat di Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda awam.