RM1.9 juta dalam 36 jam, dana wakaf Masjid Ar-Ridzuan ditutup malam ini

Iklan
Yusuf memaklumkan secara langsung di Facebook bahawa kutipan dana pembelian tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan dekat Alor Pongsu akan ditutup secara rasmi bermula tengah malam ini.

IPOH - Kutipan dana bagi pembelian tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan dekat Alor Pongsu akan ditutup secara rasmi sekitar jam 12 tengah malam pada Khamis.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengerusinya, Yusuf Majid, menerusi siaran langsung di akaun Facebook masjid berkenaan pada jam 8 malam tadi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penerimaan sumbangan selepas waktu tersebut akan dianggap sebagai wakaf am bagi tujuan pembangunan masjid tersebut.

"Syukur alhamdulillah, selepas 36 jam tersebarnya berita bahawa masjid ini memerlukan bantuan sehingga jam 9 malam semalam (Rabu), dimaklumkan jumlah sumbangan telah mencecah lebih RM1.9 juta.

Iklan

"Saya ingin berterima kasih kepada semua individu dan pihak yang turut sama membantu dan menjayakan usaha murni ini. Semoga para penyumbang dianugerahkan Jannah ALLAH SWT dan sumbangan itu menjadi saham akhirat buat semua.

"Berikutan telah tercapai jumlah sasaran dalam usaha ini, dengan ini saya umumkan penutupan sumbangan melalui akaun bank Masjid Jamek Ar-Ridzuan, khususnya melalui media sosial dan dalam talian," katanya.

Iklan

Masjid Jamek Ar-Ridzuan yang dibina sekitar tahun 1931 itu telah melalui beberapa proses baik pulih dan kini berdepan keperluan mendesak untuk mendapatkan semula hak milik tanah.

Tanah seluas 1.2 hektar itu dinilai sekitar RM1.8 juta, berbanding RM2 juta dalam pasaran.

Pada Isnin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri bagi membeli tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan daripada pemiliknya yang berbangsa Cina.