UPNP cadang guna imejan satelit pantau pencerobohan tanah Raub

Iklan
Sebahagian pokok durian yang telah ditebang di lokasi pencerobohan tanah di Raub. Foto Bernama

RAUB – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mencadangkan penggunaan perkhidmatan imejan satelit masa nyata bagi tujuan pemantauan, susulan keluasan tanah yang telah diceroboh di daerah ini terlalu besar untuk dipantau secara fizikal.

Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata, cadangan itu adalah sebahagian daripada perancangan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti ladang durian haram di kawasan ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam Operasi Sekat 3.0 yang dijalankan bulan lalu, pihaknya berjaya menebang pokok durian di kawasan seluas 202.34 hektar, yang terletak di atas tanah milik kerajaan negeri.

"Kawasan durian haram di Raub meliputi 26,000 ekar (10,521 hektar) dan terlalu luas untuk dilaksanakan rondaan fizikal secara menyeluruh.

Iklan

"Justeru, kami mencadangkan penggunaan perkhidmatan imej satelit masa nyata menerusi langganan perkhidmatan seperti planet.com.

"Pada masa ini, pemantauan imej satelit hanya menggunakan sistem e-United yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia. Sistem ini sangat membantu dalam tindakan penguatkuasaan, namun imej satelit yang dibekalkan tidak bersifat masa nyata, sekali gus menyukarkan tindakan pantas,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena tinjauan Baginda ke kawasan penguatkuasaan operasi di Batu 3, Sungai Ruan–Sungai Klau, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Saifullah turut memaklumkan bahawa kebanyakan pekebun haram tidak berada di ladang ketika operasi dijalankan, sebaliknya hanya pekerja mereka, kebanyakannya warga asing ditemui mendiami pondok-pondok di kawasan tersebut.

"UPNP mencadangkan agar semua pondok dimusnahkan dan peralatan pertanian yang terdapat di atas tanah kerajaan dan hutan simpan dirampas, khususnya di kawasan yang belum diputuskan sebarang tindakan.

"Kebanyakan pekebun haram ini tidak pernah membayar cukai kerana tidak memiliki hak milik tanah yang sah. Mereka telah mengaut keuntungan hasil tanaman durian secara haram sejak sekian lama.

"Maka, kami mencadangkan agar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalankan siasatan terperinci terhadap semua pekebun terbabit,” ujarnya.