Polis masih teruskan siasatan kes simbah asid Faisal Halim

Iklan
Mohd Shuhaily

KUALA LUMPUR - Siasatan kes melibatkan simbahan asid terhadap pemain kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim masih diteruskan walaupun diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, status itu tidak bermaksud siasatan ditutup, sebaliknya merupakan prosedur biasa dalam mana-mana siasatan jenayah.

Iklan
Iklan

"Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau tidak membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud maklumat atau perkembangan baharu.

"Dalam kes ini, siasatan masih berjalan dan kertas siasatan boleh dirujuk semula bila-bila masa,” katanya pada Khamis.

Iklan

Katanya, tiga suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan selepas didapati tiada kaitan dengan serangan berkenaan.

"Hasil analisis forensik ke atas telefon suspek tidak menunjukkan sebarang bukti atau perbualan yang mengaitkan mereka dengan kes tersebut.

Iklan

"Suspek sebenar dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lakaran wajah (foto fit) yang diedarkan juga tidak membantu mengenal pasti pelaku,” katanya.

Menurutnya, sebarang perkembangan kes akan dimaklumkan kepada peguam Faisal dari semasa ke semasa.

Beliau dalam masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan peguam yang mewakili pemain sayap kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim, mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kes serangan simbahan asid terhadap anak guam mereka pada Mei 2024.

Menurut jurucakap Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, Nik Zarith Nik Moustpha dan Mohd Haijan Omar, beberapa langkah proaktif telah diambil sejak siasatan bermula bagi memastikan kes tersebut diberi perhatian sewajarnya.

Pada 5 Mei 2024, Faisal Halim bersama isteri dan anaknya sedang menuju ke kereta mereka selepas keluar dari sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Seorang lelaki yang memakai pelitup muka menghampiri mereka dan mengucapkan ‘good luck’ sebelum menyimbah cecair dipercayai asid ke arah Faisal.

Serangan tersebut menyebabkan Faisal mengalami kelecuran tahap empat pada bahagian leher, bahu, tangan dan dada.

Beliau segera dikejarkan ke hospital dan menjalani beberapa pembedahan, termasuk pemindahan kulit.