Cubaan seludup gula, minyak masak di pangkalan haram Lan Bundle tumpas

Iklan
Antara barang kawalan yang dirampas dalam serbuan di pangkalan haram Lan Bundle, Pasir Mas berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa. FOTO: Facebook KPDN Kelantan

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan barang kawalan melibatkan minyak masak bersubsidi dan gula yang didalangi peruncit berlesen di pangkalan haram Lan Bundle, Pasir Mas berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa. 

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata, operasi dijalankan pada jam 2 petang hasil maklumat awam yang melaporkan aktiviti pemindahan barang kawalan secara mencurigakan dan berulang kali di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Bertindak atas maklumat, penguat kuasa KPDN bersama-sama anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menjalankan risikan selama empat hari dan mendapati empat kenderaan jenis Proton Waja digunakan dalam kegiatan terbabit.

"Risikan juga mendapati penyeludup memunggah minyak masak dan gula dalam kuantiti yang banyak sebelum dibawa ke pangkalan haram dikenali ‘Lan Bundle’. Bekalan itu kemudian dipindahkan ke dalam perahu untuk dibawa ke sempadan menyeberangi Sungai Golok," katanya dalam kenyataan pada Selasa. 

Iklan

Mengulas lanjut Aswadi berkata, ketika serbuan dilakukan, sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki cuba melarikan diri, namun kenderaan itu mengalami masalah teknikal sebelum suspek terjun ke Sungai Golok dan berjaya meloloskan diri.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan 96 kilogram (kg) gula dan 510kg minyak masak bersubsidi.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan bagi tujuan melakukan kesalahan serta memindahkan barang kawalan ke tempat yang tidak dilesenkan," katanya. - Bernama