Kes Sapura Energy: SPRM siasat tokoh korporat bergelar Tan Sri

Iklan
SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri kerana disyaki terlibat dalam amalan pengubahan wang haram membabitkan pemilikan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri kerana disyaki terlibat dalam amalan pengubahan wang haram membabitkan pemilikan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta.

Menurut sumber, siasatan turut menjurus kepada unsur rasuah melibatkan beberapa pelaburan selepas penggabungan Sapura Kencana Petroleum Berhad (SKPB) dan Sapuracrest Petroleum Berhad yang kemudiannya dikenali sebagai SEB.

Iklan
Iklan

"Siasatan dan penggeledahan juga telah dijalankan di beberapa lokasi iaitu di Syarikat Sapura@Mines, Menara Permata Sapura (Sapura Holdings Sdn Bhd) serta kediaman tokoh terbabit di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

"Fokus siasatan adalah terhadap kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan salah guna kuasa dalam isu ganjaran (gaji, bonus dan syer), yuran penjenamaan (branding fee) dan penempatan persendirian (private placement) dari tahun 2012 hingga 2021,” katanya pada Khamis.

Iklan

Tambah sumber, siasatan turut melibatkan usaha mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.

"Tan Sri tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 5 dan 6 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Iklan

"Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat hari ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, sumber memaklumkan sebanyak 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat melibatkan nilai kira-kira RM158.26 juta telah dibekukan susulan siasatan ini.

"Tindakan penyiasatan tadbir urus juga akan dijalankan,” katanya.

Pada 14 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa SPRM telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan syarikat Sapura Energy.

Tindakan itu diambil selepas SPRM menerima maklumat mengenai pembayaran rasuah dan tuntutan mencurigakan yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.

Siasatan tertumpu kepada kegiatan pengubahan wang haram serta penyelewengan tuntutan sekitar tahun 2018 ketika syarikat itu masih dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.