KUANTAN - Empat individu di Pahang kerugian lebih RM1.7 juta selepas terpedaya dengan penipuan dalam talian membabitkan aplikasi temu janji, pelaburan palsu dan tawaran kerja tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes melibatkan dua laporan di Raub dan dua lagi di Kuantan.
Menurutnya, kes pertama dilaporkan pada 26 Februari lalu, apabila seorang penyelia syarikat berusia 28 tahun berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi temu janji.
"Suspek memperdaya mangsa kononnya menghadapi masalah kewangan termasuk hutang, pinjaman kereta dan isu keluarga.
"Mangsa simpati dan membuat 18 transaksi berjumlah RM103,920 ke lapan akaun bank berbeza. Penipuan terbongkar apabila suspek mendakwa dirinya ditahan polis dan meminta wang jaminan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam kes kedua, Yahaya berkata, seorang akauntan syarikat swasta berusia 57 tahun ditipu lelaki dikenali sebagai Alvin yang menghubunginya.
Jelasnya, suspek memaklumkan mahu meminjam wang bagi membantu pembedahan isterinya di hospital.
"Mangsa membuat lapan transaksi berjumlah RM42,387.95. Selepas itu, suspek mendakwa akaun bank mangsa disekat dan memujuk mangsa memindahkan lebih banyak wang ke 12 akaun lain.
"Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa ialah RM296,438, melibatkan wang simpanan dan pinjaman," katanya.
Yahaya menambah, kes ketiga melibatkan bekas peniaga perabot kayu berusia 62 tahun yang ditipu sindiket kerja dalam talian selepas diperkenalkan dengan sebuah laman web kononnya dari England.
Katanya, suspek memberikan satu laman sesawang yang menawarkan kerja secara dalam talian dengan komisen antara 13 hingga 18 peratus.
"Pada 20 Februari lalu, mangsa menerima satu mesej daripada individu memperkenalkan diri sebagai Lee Mei Lee dan berhubung melalui WhatsApp.
"Suspek mengajar mangsa cara menggunakan platform itu dan perlu mengaktifkan akaun terlebih dahulu dengan memberikan maklumat peribadi," katanya.
Yahaya memberitahu, sepanjang tempoh itu, mangsa hanya pernah menerima satu komisen berjumlah RM800.
Ujarnya, mangsa turut diminta membuat bayaran lain termasuk selepas akaunnya disekat di platform terbabit.
"Mangsa membuat 61 transaksi ke 14 akaun berbeza berjumlah RM1.22 juta sebelum menyedari dirinya ditipu," ujarnya.
Bagi kes keempat, Yahaya berkata, ia melibatkan seorang jurujual berusia 43 tahun yang tertarik dengan iklan pelaburan saham di Facebook.
"Mangsa diarahkan memuat turun aplikasi dan membuat sembilan transaksi berjumlah RM139,200.
"Mangsa mula curiga selepas gagal mengeluarkan wang dan diberi pelbagai alasan oleh suspek," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sebelum melakukan sebarang transaksi dalam talian terutama melibatkan individu yang tidak dikenali.
"Orang ramai digesa membuat semakan nombor akaun atau telefon yang mencurigakan melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu,” katanya.