JOHOR BAHRU - Sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along yang menyasarkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura tumpas selepas empat ahlinya ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam operasi dijalankan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 17 April lalu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 30 hingga 34 tahun dan seorang wanita berumur 27 tahun.
"Siasatan awal mendapati kumpulan ini dibayar antara RM100 hingga RM350 bagi melakukan perbuatan khianat seperti menyimbah cat, mengunci pintu rumah dan mengugut mangsa yang gagal membayar pinjaman.
"Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah sebuah kereta, empat telefon bimbit, tong cat, pisau kecil, rantai kunci bersama anak kunci, helaian butiran mangsa dan peralatan menulis untuk nota ugutan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, kesemua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Sindiket menyasarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan menawarkan pinjaman menerusi media sosial seperti Facebook dan TikTok.
"Pinjaman dimasukkan terus ke akaun bank peminjam tanpa perjanjian rasmi dan dikenakan faedah antara 20 hingga 50 peratus. Urusan transaksi dilakukan melalui akaun berdaftar di Singapura," ujarnya.
Jelas beliau, susulan penangapan tersebut pihaknya percaya sebanyak sembilan kes berjaya diselesaikan yang mana enam di Johor (termasuk Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Kluang dan Seri Alam) serta tiga di Pahang.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (gangguan terhadap peminjam) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (penggunaan dadah).
"Sebanyak enam kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, dengan lima kes dituduh di bawah Seksyen 427 dan satu di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Khamis, katanya lagi.