IPOH - Menyorok dalam bilik kosong dan celah binaan bangunan bertingkat.
Itu antara taktik yang digunakan oleh pekerja warga asing di sebuah tapak pembinaan di Bercham di sini ketika digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak pada Rabu.
Serbuan Op Bersasar yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Perak itu berdepan cabaran apabila kawasan serbuan merupakan bangunan tinggi yang masih dalam proses pembinaan.
Pengarah Imigresen Negeri, James Lee berkata, pegawai dan anggota terlibat perlu memeriksa setiap ruang bangunan termasuk bahagian yang belum siap sepenuhnya.
"Keadaan itu menyukarkan operasi, tetapi akhirnya semua berjaya dikesan," katanya kepada pemberita.
Operasi yang bermula sekitar jam 10.30 pagi dan berakhir dua jam kemudian itu melibatkan pemeriksaan terhadap 141 individu termasuk warga tempatan.
James berkata, daripada jumlah itu, seramai 92 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai melanggar Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan ialah masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, tinggal melebihi tempoh serta melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.
"Kesemua mereka melibatkan 66 warga Bangladesh, diikuti Indonesia (12), Nepal (9), Myanmar (4) dan Pakistan (1) berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun telah ditempatkan di Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
Tambah beliau, operasi dijalankan berdasarkan aduan dan risikan awal terhadap aktiviti warga asing di kawasan pembinaan tersebut.
"JIM Negeri Perak akan terus mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi PATI," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan warga asing bagi membantu usaha membanteras kebanjiran PATI di negeri ini.
JIM Kedah gempur tapak pembinaan, 64 pekerja asing ditahan
ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 64 pekerja warga asing di dua tapak pembinaan di Changlun dan Kuala Kedah dalam Ops Gempur Bersasar pada Rabu.
Pengarahnya, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata hasil serbuan yang dilakukan mendapati pelbagai pelanggaran undang-undang dikesan, termasuk salah guna pas pekerja, tinggal lebih masa dan tiada dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, dalam operasi di tapak pembinaan di Changlun, pihaknya memeriksa 25 pekerja warga Bangladesh, Myanmar, dan Indonesia, dan 22 daripada mereka ditahan kerana pelbagai kesalahan.
"Anggota kami mendapati ada pekerja asing yang menggunakan pas lawatan yang telah tamat tempoh, malah ada yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.
Sementara itu, dalam serbuan kedua di tapak pembinaan di Kuala Kedah, 39 pekerja asing termasuk dua wanita turut ditahan kerana kesalahan yang sama.
Mohd Ridzzuan menegaskan bahawa majikan perlu mendapatkan kelulusan imigresen sebelum memindahkan pekerja asing ke negeri lain.
"Kebanyakan majikan bersikap sambil lewa dan tidak mengendahkan undang-undang. Jika berlaku operasi seperti ini, pekerja mereka akan ditahan manakala mereka sendiri boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Tambah beliau, kesalahan yang dikesan akan disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk salah guna pas bekerja di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Bagi kesalahan tinggal lebih masa disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala tiada dokumen pengenalan diri disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama.
Mohd Ridzzuan memaklumkan bahawa kesemua 64 pekerja asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Kedah di Anak Bukit untuk urusan dokumentasi sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau menegaskan bahawa JIM Kedah akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta mengawal aktiviti tidak sah yang melibatkan tenaga kerja asing.