KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa agar satu inkues kematian dijalankan ke atas dua kes kematian tahanan masing-masing di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Penjara Pokok Sena, Kedah pada tahun lalu.
Pesuruhjaya Suhakam, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, inkues itu penting bagi mengenal pasti punca kematian serta menentukan sama ada wujud elemen jenayah atau kecuaian berhubung dua kematian tersebut.
Beliau berkata, dua banduan tersebut ialah seorang warganegara Pakistan, Jamshed Ahmed di Depot Imigresen Bukit Jalil yang dilaporkan meninggal dunia pada 15 Januari, manakala seorang lagi ialah Mohd Zaidi Abdul Hamid yang meninggal dunia semasa berada di Penjara Pokok Sena, Kedah pada 7 Oktober.
"Jamshed didapati tidak sihat dan berada dalam keadaan sangat lemah ketika berada di dalam sel, selain mempunyai penyakit diabetes dan memerlukan pengambilan insulin setiap hari.
"Aduan yang diterima Suhakam mendakwa bahawa kematian Jamshed berpunca daripada hak rawatan ke atas dirinya yang telah dinafikan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Hasil dapatan Suhakam mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah berasas berdasarkan maklumat yang konsisten diperoleh daripada keterangan pengadu, rakan tangkapan, anggota dan kakitangan Depot Imigresen Bukit Jalil serta pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM UKM),” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Hadir sama pesuruhjaya Suhakam yang lain iaitu Datuk Mariati Robert, Dr. Chew Chee Ming dan Nazira Abdul Rahim.
Bagi kes Mohd Zaidi, Noor Aziah berkata, Allahyarham telah menerima hukuman sebatan sebanyak 12 kali pada 25 September 2024 dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Kata beliau, Suhakam berpendapat bahawa dakwaan Mohd Zaidi tidak mendapat rawatan yang sewajarnya adalah berasas, khususnya selepas pelaksanaan hukuman sebatan.
Jelas beliau, luka di bahagian punggung Allahyarham berada dalam keadaan yang teruk dan bernanah.
Menurutnya, setelah meneliti hasil bedah siasat, Suhakam mendapati bahawa Mohd Zaidi mempunyai nanah yang teruk disebabkan jangkitan kuman dan jangkitan tersebut telah merebak ke bahagian celah kelangkang.
Malah katanya, luka di bahagian punggung Mohd Zaidi juga tidak kelihatan bersih dan keadaan luka yang bernanah hanya boleh berlaku sekiranya luka tersebut tidak dicuci atau dirawat.
Untuk itu, kata beliau, Suhakam akan terus mendesak agar agensi terlibat seperti Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi maklum balas, setelah soalan bertulis diberikan kepada pihak terlibat.
"Perkara ini sangat mustahak bagi memberi keadilan kepada mangsa dan penjelasan kepada ahli keluarga terlibat,” ujarnya.