KOTA BHARU - Seorang buruh wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia membuka langkah seribu sebaik tersedar tapak pembinaan apartmen 42 tingkat yang menjadi tempat kerjanya diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Kelantan.
Cubaan melarikan diri itu bagaimanapun gagal apabila ibu tunggal berusia 24 tahun itu berjaya ditahan dalam Operasi Gempur Bersasar JIM di Kubang Kerian pada Rabu.
"Saya tak kerja hari ini dan tidur di rumah kongsi.
"Saya terkejut mereka datang, saya bangun dan terus lari sampai kaki sakit,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurutnya, dia bekerja mengangkat kayu di tapak pembinaan itu dan menerima upah berjumlah RM50 setiap kali bekerja.
Wanita itu memaklumkan dia memasuki negara ini pada November 2023 dan bekerja sebagai buruh binaan sehingga kini.
"Saya masuk ke Malaysia dengan menaiki kapal terbang serta mempunyai pasport tetapi dah tamat tempoh tahun lepas.
"Saya nak balik ke kampung di Jawa Timur, namun tidak ada wang,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun yang tinggal di Indonesia bersama ibunya.
Sementara itu, Pengarah JIM negeri Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, seramai 91 PATI ditahan dalam operasi yang dijalankan pihaknya bermula jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Katanya, mereka terdiri daripada 88 lelaki, dua wanita dan seorang bayi perempuan berusia sebulan.
"Kesemua buruh yang ditahan berusia antara 20 hingga 55 tahun, kebanyakan terdiri warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, seorang India dan empat Pakistan.
"Mereka melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan, tinggal melebihi tempoh dan menyalah guna pas kerja sementara,” katanya.
Tambah beliau, kesemua PATI dibawa ke Depot Tahanan di Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan bayi terbabit turut diiringi ibunya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.