SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) membidas kenyataan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berhubung bantahan projek pembangunan bercampur di Seksyen 24, di sini sebagai mengancam fungsi kawalan banjir serta kesejahteraan penduduk.
Timbalan Ketuanya, Danial Al-Rashid Haron berkata, bantahan itu dibuat terlalu awal dan tidak memahami secara menyeluruh perancangan pembangunan semasa, khususnya menerusi inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) dan Zon Pembangunan Ekonomi (ZPE).
"Saya sendiri telah meneliti cadangan pembangunan SA04 ini sebagai sebahagian daripada pelaksanaan ZPE dan SMG. Pada peringkat awal, saya juga berkongsi kebimbangan sama ada pembangunan ini akan memburukkan atau membantu menyelesaikan isu banjir.
"Tetapi, selepas menghadiri sesi libat urus, meneliti pelan mitigasi banjir serta mendengar taklimat teknikal daripada pihak berkaitan, saya melihat potensi besar bahawa pembangunan ini sebenarnya boleh mencipta situasi menang-menang antara pembangunan dan pengurusan risiko bencana.
"Untuk makluman, objektif utama SMG untuk mengatasi masalah banjir, bukan menambah beban kepada penduduk kerana projek pelebaran dan pedalaman Sungai Klang dalam jajaran ini dirancang bagi menampung taburan hujan tinggi serta mengurangkan kesan air pasang besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini dilaporkan, Mohamed Sukri membantah projek pembangunan bercampur yang sedang dirancang anak syarikat Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), bersama Lion Posim Berhad (LPB) di Seksyen 24, di sini.
Beliau berkata, bantahan itu berikutan tapak projek berkenaan merupakan dataran tanah rendah terletak bersebelahan Sungai Klang yang berfungsi sebagai dataran banjir iaitu kawasan takungan sementara ketika hujan lebat untuk melambatkan serta mengawal aliran air ke sungai.
Mengulas lanjut, Danial Al-Rashid yang juga Ketua Pemuda Amanah Selangor berkata, ZPE diwujudkan bukan hanya untuk merangsang ekonomi, namun sebagai pemangkin penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir.
"Saya juga ingin menjelaskan bahawa isu berkaitan laluan keluar masuk lori dibincangkan secara teliti dalam sesi dialog di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada awal tahun 2024 yang telah memutuskan laluan lori tidak akan melalui kawasan taman perumahan ini.
"Sebaliknya, akan menggunakan laluan pembangunan dari tepi kawasan ‘uptown’ Seksyen 24. Selepas pembangunan ini siap, akses utama juga tidak akan berkongsi laluan dengan penduduk Seksyen 24 kerana laluan baharu akan dibina di sepanjang tebing sungai dan dicadang terus ke bulatan Seksyen 17.
"Ini menunjukkan bahawa aspek kesejahteraan dan keselamatan penduduk telah pun diambil kira dari awal,” ujarnya.
Tambah Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu, isu kebimbangan penduduk turut dibawa dalam Sidang Pembukaan Dewan Negeri Selangor pada Februari 2025 agar dapat diperhalusi dan dipantau dengan lebih teliti.
"Sikap Pemuda Pas Selangor yang tergesa-gesa menolak tanpa memahami konteks teknikal dan hala tuju pembangunan negeri mencerminkan kelemahan dalam memahami keperluan rakyat dan tanggungjawab membina masa depan.
"Tidak hairanlah pembangunan di negeri SG4 yang diperintah Pas terus ketinggalan. Malah di Selangor iaitu negeri paling maju dan penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tahap pemikiran Pemuda Pas Selangor masih gagal memahami asas perancangan bandar dan tadbir urus pembangunan yang lestari.
"Untuk menambah pengetahuan, saya cadangkan Pemuda Pas Selangor mengikuti rapat perbahasan dan jawapan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor kerana perbincangan dilaksanakan beberapa kali dan penerangann berfakta dijawab di sana,” katanya lagi.