65 saksi akan dipanggil bagi kes culik lelaki Palestin, AMLA

Iklan
Seramai 65 saksi akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam kes penculikan dan AMLA membabitkan 14 individu termasuk seorang wanita. (Foto hiasan)

KUALA LUMPUR - Seramai 65 saksi akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam kes penculikan dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan 14 individu termasuk seorang wanita.

Perkara itu dimaklumkan pihak pendakwaan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Harvind Raja Gopal berkata, bagi kes penculikan, seramai 30 saksi akan hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun katanya, pernyataan saksi masih dalam peringkat persediaan.

Iklan

"Kami akan serahkan senarai nama saksi terlebih dahulu kepada barisan peguam tertuduh dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria berkata, baki 35 saksi lagi adalah bagi kes AMLA membabitkan tiga tertuduh.

Iklan

Menurutnya, daripada jumlah itu, 21 saksi adalah pegawai bank, 17 pemegang akaun dan selebihnya penjawat awam.

"Pernyataan saksi membabitkan pegawai bank akan diserahkan kepada pihak pembelaan, sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 7 hingga 11 Julai depan bagi perbicaraan dua kes ini.

Hakim, K Muniandy kemudian menetapkan 23 Mei ini untuk pengurusan kes dan mengecualikan kehadiran semua tertuduh.

Pada Oktober 2022, seramai 13 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik warga Palestin, Omar Z M Albelbaisy Raeda, 34, bagi mendapatkan ganjaran berupa rahsia maklumat berkaitan perisian menggodam telefon bimbit.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 45; Mohamad Norakmal Hassan, 46; Dody Junaidi, 47; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44; Mohamad Naziree Mustapha, 44; Faizull Hardey Mohd Isa, 45; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30; Mohamad Sufian Saly, 28; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 26; Nidarahayu Zainal, 39; Raibafie Amdan, 44; Mohd Zaidi Mohd Zain, 59; Mohd Azwan Jamaludin, 42 dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, Kuala Lumpur, pada jam 10.40 malam, 28 September 2022, mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 20 Oktober 2023, Tengku Arif Bongsu bersama pasangan suami isteri, Nidarahayu dan Raibafie turut didakwa atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM250,000.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Nidarahayu didakwa melupuskan wang RM20,650.86 hasil aktiviti haram daripada akaun simpanannya di CIMB Bank ke dua akaun bank lain di CIMB Bank dan Maybank Islamic Berhad di Cawangan Taman Maluri, antara 15 September hingga 3 Oktober 2022.

Dia turut berdepan 13 pertuduhan memindahkan wang RM184,985.46 ke dalam akaun empat syarikat dan lapan individu, juga hasil aktiviti haram, antara 15 September hingga 2 Oktober tahun sama.

Raibafie dan Tengku Arif Bongsu masing-masing didakwa menerima RM30,350 dan RM25,000 daripada dua akaun bank milik Nidarahayu serta sebuah syarikat, di CIMB Bank Cawangan Jalan Bukit Bintang dan Taman Mutiara, Cheras antara 29 September hingga 2 Oktober 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, peguam, Norma Goh Kim Lian hadir bagi 11 tertuduh iaitu Mohamad Norakmal, Dody, Tengku Arif, Mohamad Naziree, Faizull Hardey, Muhammad Iqmal, Mohamad Sufian, Nidarahayu, Raibafie, Mohd Zaidi dan Tengku Hazarul.

Sementara peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili Muhammad Al Hatim; peguam, Simran Kaur (Edy Ko’im) dan peguam, Muhammad Amin Abdullah hadir bagi pihak Nidarahayu bagi kes culik.