PASIR GUDANG – Jenazah pendaki rakyat Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia pada Sabtu lalu, selamat dikebumikan pada pagi Rabu.
Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Cahaya Masai, di sini kira-kira jam 7.20 pagi, selepas disolatkan di Surau Raudhatul Jannah, Sierra Perdana, yang diimamkan anak sulungnya, Mohamad Akashah, 29.
Lebih 100 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan Allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir serta mengiringi jenazah dari kediamannya hingga ke surau dan tanah perkuburan.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Mastura Tawap, 53, dan tiga orang anak iaitu seorang lelaki serta dua perempuan – Syafaatul Amirah, 28, dan Anisa Sofea, 20.
Pada Ahad petang, pasukan penyelamat berjaya membawa keluar jenazah Rennie dari lokasi curam sedalam 80 meter.
Difahamkan, Allahyarham memulakan pendakian pada 1 Mei lalu bersama 23 pendaki lain.
Menurut kenyataan rasmi Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), kejadian berlaku ketika kumpulan pendaki berhenti untuk mengambil air di mata air Banyu Urip.
Mangsa dilaporkan meneruskan perjalanan tanpa berehat walaupun telah ditegur dan diekori oleh ketua kumpulan.
Ketika melintasi laluan yang dilengkapi pagar tali keselamatan, ketua kumpulan cuba membantu Allahyarham, namun mangsa menolak bantuan tersebut.
Difahamkan, Allahyarham melepaskan pegangan pada tali keselamatan sebelum tergelincir semasa menuruni laluan curam, menyebabkan beliau hilang imbangan lalu terjatuh ke bahagian kanan laluan mendaki.