Kerajaan jamin pendapatan penduduk luar bandar tak terjejas - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM – Kerajaan memberi jaminan akan memastikan komuniti desa tidak terkesan teruk susulan pengenaan tarif balas oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan itu, beliau memandang serius cabaran yang dihadapi komuniti desa akibat ketidaktentuan perdagangan global.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ramai penduduk luar bandar secara tidak langsung bergantung kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E), kelapa sawit, getah dan pertanian dengan AS antara pasaran utama negara.

"Justeru itu, saya yakin usaha kerajaan ini bukan sahaja berunding mengurangkan tarif, tetapi juga membuka pasaran baharu di ASEAN, Timur Tengah, Mesir, Pakistan dan Kemboja amat penting bagi melindungi pendapatan dan kelangsungan hidup mereka yang terkesan.

Iklan

"Saya juga bersyukur atas tindakan pantas kerajaan mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk naik taraf sempadan Sabah dan Sarawak-Kalimantan, serta had sebut harga dinaikkan daripada RM1 juta ke RM3 juta.

"Ini secara langsung akan memperlihatkan pembinaan sekolah, klinik, jalan dan tebatan banjir dapat dipercepat serta membuka lebih banyak peluang kerja untuk kontraktor kecil atau pekerja di kawasan luar bandar,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, kedudukan asas ekonomi negara yang kukuh diyakini mampu membolehkan Malaysia berdepan ketidaktentuan global secara terurus susulan pengumuman tarif balas AS baru-baru ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata, reformasi struktur yang dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi Madani juga dilihat dapat membantu negara untuk lebih berdaya tahan serta bersiap siaga mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, langkah proaktif kerajaan melalui penubuhan National Geo-Economic Coordination Centre (NGCC) jelas memperlihatkan komitmennya untuk mempertahankan kepentingan negara, sekali gus memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh di mata dunia.

"Dalam sektor pembangunan halal pula, Malaysia akan terus diyakini menerajui industri halal dunia dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada 2024 (meningkat 15 peratus berbanding tahun sebelumnya), mengekalkan kedudukan nombor satu dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.

"Namun, kelembapan ekonomi global akibat dasar tarif ini dijangka menjejaskan permintaan antarabangsa terhadap pelbagai produk eksport, termasuk barangan halal, sekali gus memberi tekanan kepada penggiat industri tempatan.

"Justeru, usaha mempergiat penerokaan pasaran baharu, khususnya di ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asia Selatan, melalui padanan perniagaan dan penyertaan dalam ekspo antarabangsa akan memangkin pertumbuhan eksport, membuka peluang baharu untuk usahawan tempatan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global,” ujarnya.

Menurut beliau, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC), akan memastikan usahawan halal, terutama di desa menembusi pasaran global.

"Dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula, kita sedar bahawa cabaran dalam sektor E&E akan memberikan kesan langsung terhadap keperluan modal insan berkemahiran tinggi.

"Keutamaan kita adalah untuk memastikan lebih ramai belia desa mendapat akses kepada latihan TVET yang relevan dan berkualiti, seterusnya meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor bernilai tinggi yang akan memacu ekonomi masa hadapan,” kata beliau.

Tambah Ahmad Zahid, Malaysia kini berada pada landasan ekonomi yang kukuh apabila mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus bagi tahun 2024, selain defisit fiskal menurun dan kadar inflasi kekal stabil.

Ujarnya, oleh itu, kerajaan komited melaksanakan agenda reformasi seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pendigitalan negara tanpa menjejaskan prinsip utama termasuk hak bumiputera, keperluan vendor tempatan serta perlindungan sektor strategik.