SUBANG JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi menegaskan komitmen beliau untuk terus memperjuangkan suara penduduk setempat dalam setiap peringkat pelaksanaan projek pembangunan di Putra Heights di sini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Kick-Off bersama Sime Darby dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang diadakan di The Glades Plaza, Putra Heights, di sini pada Selasa.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar itu turut disertai agensi-agensi teknikal seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, serta wakil komuniti termasuk Rukun Tetangga Amber, Topaz, Citrine, dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Menurut Abbas Salimmi, perbincangan tertumpu kepada pelan tindakan, garis masa pembinaan, serta aspek-aspek penting yang akan memberi impak langsung kepada masyarakat, termasuk kemudahan, keselamatan, dan kebajikan penduduk sekitar.
"Pendekatan inklusif yang melibatkan semua pihak, termasuk wakil komuniti, menunjukkan kesungguhan kita dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat,” ujarnya dalam kenyataan.
Mesyuarat turut disusuli dengan lawatan tapak ke Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru bagi meninjau keadaan semasa serta perancangan susulan yang bakal dilaksanakan.
Abbas Salimmi turut merakamkan penghargaan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor atas peranan mereka dalam menyelaras usaha pemulihan dan pembangunan semula kawasan tersebut.
"Insya-ALLAH, saya akan pastikan suara penduduk terus didengari dan hak mereka sentiasa dipelihara dalam setiap fasa projek ini,” tegas beliau.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama erat demi kesejahteraan masyarakat Seri Serdang.