SHAH ALAM – Seorang bekas pengacara media sosial dan teman lelakinya yang tular dalam kes kehilangan barang kemas mencecah lebih RM100,000, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mencuri di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Nur Farwizah Mohd Yusof, 23, dan Abdul Hafiz Mohamed Samsudin, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar, Siti Mazrah Mohamad.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama mencuri dua cincin dan tiga rantai tangan emas seberat 244.08 gram dengan nilai mencecah RM111,743.55 di sebuah kedai emas di Seksyen 7, di sini, pada jam 4 petang, 26 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi mencadangkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Salahuddin Salam yang mewakili Abdul Hafiz merayu anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar minimum kerana tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung keluarga.
Sementara itu, Nur Farwizah yang diwakili peguam Mohd Razlan Jalaluddin turut merayu perkara sama dengan alasan anak guamnya masih bujang dan hanya bekerja sebagai pengacara di platform jualan aplikasi media sosial.
"Taraf pendidikannya hanya sehingga Tingkatan Lima dan keluarganya mampu menyediakan jaminan tidak lebih RM4,000,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun depan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah kedai emas di sini mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas tiga rantai tangan serta dua cincin emas dilarikan pelanggan yang berpura-pura mahu membeli barang kemas.
Kehilangan itu hanya disedari selepas pemeriksaan dibuat berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).